Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 15 SEP: Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) sesuai pada masanya sebagai entiti penambah nilai dan pelaburan ke arah mengukuh serta meningkatkan hasil negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata ini kerana Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, ingin melihat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) memberi fokus lebih baik terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Dengan adanya DEIG maka MBI fokus kepada perkara itu iaitu membelanjakan hasil negeri untuk program pembangunan rakyat.
“DEIG pula fokus bagi pelaburan maka dua perkara ini memerlukan dua kepakaran berbeza,” katanya kepada Selangor Kini.
Fahmi berkata, DEIG ialah entiti penyumbang seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dan Temasek Holdings Private Limited (Temasek) diyakini bebas pengaruh politik dengan ketetapan Dato’ Menteri Besar menerusi keanggotaan tenaga profesional dalam lembaga pengarahnya.
Katanya, Mohamad Azmin turut menzahirkan komitmen agar DEIG perlu mempunyai tahap ‘the highest standard of government’.
“Contoh boleh diambil seperti Temasek dimiliki Kerajaan Singapura dipengerusikan Perdana Menteri serta dianggotai ahli lembaga pengarah bukan dari kalangan ahli politik.
“Terdapat klausa dalam struktur tata kelola Temasek menyatakan Presiden dan sebarang ahli politik bertaraf menteri yang berada dalam lembaga pengarah tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan pelaburan dan perniagaan.
“Dato’ Menteri Besar dilihat mengambil insiatif sebegitu maka tohmahan mengatakan DEIG macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.
Beliau berkata, DEIG juga berperanan sebagai pemangkin baharu apabila anak syarikat yang ada tidak memainkan peranan sebagaimana dikehendaki.
“Kerajaan Negeri mempunyai banyak anak syarikat dan perlu distruktur semula untuk hasil pulangan lebih baik.
“Keadaan sepatutnya anak syarikat membantu negeri tetapi berlaku sebaliknya,” katanya.
EZY