Categories
NASIONAL

1MDB: “Mana satu betul, siasatan selesai atau belum?”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OKT: Status siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengelirukan apabila agensi terlibat didapati mengeluarkan kenyataan berbeza antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata kekeliruan itu mula dikesan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak ‘mengganggu’ siasatan dengan menukar beberapa individu terlibat dalam peringkat awal siasatan lagi.

“Semasa Peguam Negara baru dilantik gantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, dia kata siasatan ditutup tetapi polis pula kata siasatan belum ditutup seolah-olah tidak ada siasatan, kejap dah ditutup kejap belum tutup, tak konsisten.

“Adakah tiada siasatan bersungguh-sungguh? Kita pelik Bank Negara Malaysia (BNM) dah serahkan penemuan mereka kepada Peguam Negara tetapi Peguam Negara kata siasatan BNM itu tak lengkap dan pada masa sama polis dan SPRM kata siasatan belum selesai. Siapa yang betul pun kita tak tahu.

“Rakyat tidak yakin apa yang berlaku, sungguh pun siasatan mengesahkan ada penyelewengan dan unsur salah guna kuasa tetapi Peguam Negara seolah-olah langsung tidak ambil peduli untuk meneliti semua keputusan siasatan ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Tian Chua berkata, tindakan undang-undang sukar diambil terhadap pihak bertanggungjawab berikutan pendirian Peguam Negara yang tidak neutral dalam menjalankan siasatan.

Baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara sekali lagi menegaskan bahawa 1MDB tidak harus dipersalahkan dalam skandal yang mengakibatkan negara terpaksa menanggung hutang hampir RM43 bilion.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media berasingan pula menjelaskan, Peguam Negara sentiasa memantau siasatan yang masih dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Peguam Negara sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi berkenaan setiap kali siasatan dirujuk kepada Peguam Negara, termasuk arahan mempercepatkan siasatan.

“Sehingga hari ini, PDRM dan SPRM belum melengkapkan siasatan kerana keterangan beberapa saksi belum direkodkan,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara itu.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.