Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 3 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan bertanggungjawab menukar paip lama dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) melalui perbelanjaan modal (Capex).
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pengantian paip lama yang sudah berusia lebih tujuh tahun akan diberi perhatian dan dilaksanakan mengikut keutamaan.
“Itu tanda aras kita dan perlu mengambil pengajaran melalui pengurusan sebelum ini. Sudah tentu pengantian paip lama akan dipikul Air Selangor melalui Capex,” katanya menjawab soalan tambahan Shahrom Mohd Sharif (BN-Dengkil) di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Zaidy (PAS-Taman Templer) berkata, Kerajaan Negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan meneliti semula Capex yang dibekukan sebelum ini.
“Itu tidak menjadi masalah. Pembekuan itu tidak menimbulkan masalah dan kita akan meneliti semula,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mensasarkan pengurangan NRW mencapai 25 peratus tahun depan.
“Mengikut SPAN pada Disember 2014, kadar NRW adalah 33.21 peratus. Manakala pada Disember tahun ini, SPAN mengunjurkan NRW pada kadar 32.46 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor memutuskan untuk membekukan kelulusan Capex dan pelarasan tarif air yang dipohon Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) demi menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati Syabas gagal mencapai sasaran penurunan NRW seperti termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang dipersetujui syarikat itu.
Dalam perjanjian itu, Syabas menjanjikan penurunan NRW kepada 19.98 peratus pada 2011 dengan perbelanjaan RM784.1 juta, namun kadar yang dicapai melebihi 32 peratus dengan jumlah perbelanjaan RM1,169.64 juta.
Kegagalan itu menyebabkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang mendapatkan penjimatan kira-kira 663 Juta Liter Sehari (JLH) yang seharusnya dihasilkan melalui penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas.
-NFN-