Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor Kini akan menerbitkan edisi khas Belanjawan Selangor 2016 versi bahasa Inggeris, pada 16 November ini.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ia ekoran permintaan tinggi terhadap akhbar itu termasuk versi bahasa Tamil dan Mandarin.
“Akhbar versi bahasa Tamil dikenali sebagai Selangor Kini Hindru akan diedarkan 60,000 naskah bermula esok (6 November) dan akan diteruskan 60,000 naskah setiap dua bulan sekali.
“Manakala, bahasa Mandarin kita sasarkan 75,000 naskah dengan terbitan dua kali sebulan, bermula 21 November ini berdasarkan kedudukan kewangan Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB),” katanya ketika menggulungkan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohamed Azmin (KEADILAN-Bukit Antarabangsa), berkata 158,296 orang direkodkan mengunjungi portal Media Selangorku sehingga kini.
Katanya, dasar terbuka Kerajaan Negeri juga memberi peluang berita Barisan Nasional (BN) untuk dimuatkan dalam akhbar yang berbeza dengan apa yang diamalkan mereka.
“Kita tidak pernah menafikan hak BN berbanding dengan apa yang mereka lakukan, cuma kita harus berusaha meningkatkan keberkesanan Selangor Kini dalam menyampai maklumat,” katanya.
Berkenaan cadangan supaya melantik pegawai penerangan negeri di setiap DUN, Mohamed Azmin berkata, beliau akan meminta CCSB supaya melihat kewajaran pelaksanaannya.
“Falsafah dan matlamat itu adalah baik kerana ia akan memberi kesan positif kepada Kerajaan Negeri. Kita juga tidak mahu dasar baik hanya berlegar di Shah Alam sahaja,” katanya.
-NFN-