Categories
NASIONAL

Ketokohan WAWI setara kecekalan Aung San

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Kecekalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memimpin KEADILAN daripada parti kecil sehingga muncul dominan dalam politik negara harus menjadi iktibar kepada anggota wanita.

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, berkata ketokohan Wan Azizah adalah setara dengan kecekalan pemimpin ulung Myanmar, Aung San Suu Kyi.

MB Azmin“Kejayaan parti National League for Democracy di bawah Aung San menambah bukti betapa besarnya sumbangan wanita dalam pembangunan demokrasi.

“Sementara semangat dalam perjuangan adalah faktor penting, harus diingat perjuangan adalah marathon.

“Kita harus punya tenaga, kegigihan, kesabaran, disiplin bagi menyusuri liku, ombak dan onak duri serta gelombang tsunami perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar Selangor itu turut menggesa pimpinan Wanita dan AMK mengatur strategi ampuh dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, langkah mendesak adalah melaksanakan program dalam kalangan anak muda supaya menghayati idealisma perjuangan parti dan menjadi penggerak di akar umbi.

“Pimpinan Wanita dan AMK mempunyai tanggungjawab besar untuk menggalas harapan dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Tatkala pentadbiran Putrajaya bergelut dengan krisis kepimpinan, kegawatan ekonomi dan kecelaruan dasar yang menghakis keyakinan pelabur dan masyarakat perniagaan, Wanita dan AMK perlu bersedia menonjolkan kepimpinan dan menggarap kekuatan, memupuk perpaduan di kalangan rakyat merentasi politik partisan untuk membawa negara keluar daripada kegelapan kepada pencerahan,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.