Categories
SELANGOR

Media bohong isu air, MB ambil tindakan undang-undang

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada media yang melaporkan pembohongan dalam isu kenaikan tarif air.

Beliau berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan persetujuan untuk menaikkan sebarang kenaikan tarif air kepada penduduk negeri itu.

“Saya kecewa kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab seakan Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan tarif air. Saya kesal ucapan penggulungan saya diputar belit sebahagian media yang merosakkan imej Kerajaan Negeri.

IMG_6667“Ini satu pembohongan. Oleh itu, kerana fitnah ini, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam penggulungan peruntukan pembangunan Belanjawan Selangor 2016, di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Mohamed Azmin turut membacakan hansard dewan jawapannya semalam yang menjawab soalan Sulaiman Razak (BN-Permatang) dan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) dalam sidang dewan itu.

Beliau turut mencabar pihak media dan Adun terbabit supaya memberikan bukti kenyataan Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan kadar tarif air itu.

“Dalam hansard dewan ini, saya menyatakan setiap pengambilalihan syarikat pastinya mempunyai implikasi kos untuk memastikan ia efisyen dan bertanggungjawab serta holistik. Namun, pendirian Kerajaan Negeri memastikan sebarang kenaikan tidak membebankan pengguna.

“Tidak ada saya menyebut bersetuju menaikkan tarif air. Kedua, itu sebab Kerajaan Negeri mengambil keputusan hasil Akta Wasia supaya industri air tidak diswastakan, malahan dikembalikan kepada Kerajaan Negeri.

“Kita percaya Kerajaan Negeri boleh menguruskan dengan baik. Jika ada keperluan untuk naikkan tarif itu, kita tentukan selepas Kerajaan Negeri mengambil alih semua syarikat,” katanya.

Beliau berkat,a Air Selangor sedang meneliti dan mengenal pasti kesan implikasi dua syarikat dengan bertanggungjawab.

“Hari ini kurang sebulan masuk dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sebab itu Air Selangor masih meneliti dan mengesan implikasinya. Untuk menguruskan industri air kosnya sudah tentu besar. Empat ekuiti itu kita menanggung minima sekurang-kurangnya RM2 bilion,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri perlu jujur bagi melihat implikasi kewangan yang akan ditanggung atas pengambilan dan pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) serta penggantian paip lama.

“Untuk menanggung semua kos itu, kita perlu jujur melihat implikasi kewangan. Adakah kita mampu menyerap semua kos untuk tidak menaikkan tarif? Jadi, tidak salah untuk kita kaji dan lihat implikasi itu.

“Itu beza Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan tidak teliti dan terus berpihak pada kroni. Kerajaan Negeri teliti dulu dan semestinya berpihak kepada rakyat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.