Categories
NASIONAL

PAS tolak bersatu dengan BN

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: PAS mengulangi pendiriannya untuk kekal sebagai pembangkang walaupun wujud dakwaan bahawa parti itu akan membentuk kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata Malaysia memerlukan pembangkang untuk mengetahui sama ada dasar kerajaan berkesan atau tidak.

“Tidak perlu PAS bersatu dengan Umno tetapi kita mahu menjadi pembangkang yang membina supaya tidak dilabel hanya tahu membangkang sahaja.

“Mana yang tidak bagus kita akan tegur, kalau baik akan sokong untuk kepentingan rakyat,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, PAS dan BN tidak perlu bersatu memandangkan dua parti itu memiliki dasar berbeza.

Bagaimanapun, katanya, politik matang perlu ada dalam negara ini walaupun setiap parti memiliki ideologi berbeza.

“Jika perkara itu baik untuk rakyat, maka boleh rentas sempadan politik tetapi kewujudan pembangkang perlu untuk ‘check and balance'”,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu akan terus menjadi pembangkang dan tidak akan sesekali menyertai BN untuk membentuk kerajaan campuran.

Beliau berkata, pertemuan yang dilakukan bersama pemimpin BN sebelum ini adalah berkisarkan masalah rakyat bukan kerjasama politik.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.