Categories
NASIONAL

PM, dengarlah rintihan pemandu teksi

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa supaya berjumpa dan mendengar suara pemandu teksi di Lembah Klang bagi menyelesaikan masalah mereka.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata industri teksi di negara ini semakin tenat ekoran kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangani aplikasi ‘Uberteksi’ dan ‘Grabcar’.

nasaruddin hasan tantawiKatanya, ia menyebabkan pendapatan pemandu teksi dilaporkan terjejas teruk sehingga 50 peratus di sebalik kenaikan kos bahan api dan sara hidup.

“Keadaan ini parah untuk mereka ekoran perkhidmatan Uber dan Grabcar yang menyalahguna kuasa dengan menggunakan pengangkutan sendiri sebagai kenderaan awam seperti teksi bermeter dan bajet di negara ini.

“Kebanyakan teksi bermeter juga disenarai hitam ekoran gagal membayar sewa beli teksi yang semakin tinggi dengan kosnya antara RM65 hingga RM75 sehari,” katanya dalam sidang media lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Nasruddin berkata pemandu juga semakin terkesan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan syarikat teksi.

Katanya, ia ditambah dengan kenaikan kecil tambang meter berbanding beban yang terpaksa ditampung pemandu teksi saban hari.

“Keadaan ini sangat membebankan apabila mereka dikenakan GST berantai tetapi tidak boleh mengenakan cukai sama kepada pelanggan. Kerajaan perlu bertindak segera kerana kebanyakan negara luar mengharamkan Uber seperti Perancis,” katanya.

Pemandu Teksi Lembah Kelang hari ini berkumpul di Padang Merbok bagi membuat bantahan terhadap SPAD serta menggesa kerajaan mengharamkan Uber dan Grabcar.

Mereka mendakwa perkhidmatan aplikasi itu menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Dianggarkan tidak kurang 500 pemandu teksi berbaris sepanjang Jalan Parlimen sambil terus meniup vuvuzela dan mengangkat sepanduk.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.