Categories
SELANGOR

PBT diarah beku semua permohonan lesen penjualan vape

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarahkan untuk membekukan semua permohonan lesen penjualan vape atau rokok elektronik sehingga keputusan di peringkat negeri berjaya dicapai.

Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata arahan itu selaras dengan kehendak Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu perbincangan secara menyeluruh terhadap isu terbabit diselesaikan.

Vape Dr DaroyahKatanya, sehingga kini lebih 100 permohonan penjualan vape diterima di negeri itu dan 30 daripadanya diberikan lesen sementara.

“Pengusaha vape di Selangor masih selamat kerana tiada serbuan akan dilakukan pihak penguasa buat sementara waktu ini sehingga keputusan mengenai isu terbabit diumumkan kerajaan negeri.

“Arahan itu dikeluarkan berikutan pihaknya perlu meneliti semua maklumat daripada semua agensi berkaitan menerusi beberapa siri bengkel yang membincangkan secara khusus berhubung isu itu,” katanya selepas bengkel khas bagi membincangkan isu vape.

VAPEDaroyah berkata Kerajaan Negeri tidak mahu terburu-buru mengumumkan keputusannya kerana perlu mengambil kira semua pandangan menerusi bengkel yang diadakan, selain perlu berlaku adil kepada pihak berkaitan.

“Perbincangan menerusi bengkel ini masih diperingkat awal, kita akan kumpulkan semua maklumat daripada agensi dan pihak terbabit dan selepas ini akan ada satu lagi perbincangan khusus mengikut kepakaran masing-masing sebelum dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk sebarang keputusan.

“Kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan kerana negeri ini ada pelbagai pihak termasuk pengusaha vape dan penggunanya yang terbesar di negara ini, jadi kita perlu mendengar pandangan supaya ia berlaku adil kepada semua,” katanya.

Bengkel itu disertai wakil Kementerian Kesihatan (KKM), pejabat Mufti Selangor, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia dan wakil Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA).

Sementara itu, Timbalan Presiden MEVTA Ikbal Zakaria berkata, pihaknya akur sekiranya keputusan tidak memihak kepada pengusaha vape di negeri ini.

Beliau menyokong usaha kerajaan negeri untuk menganjurkan bengkel khusus bagi membincangkan isu terbabit secara menyeluruh.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.