Categories
SELANGOR

Piala FA: PDRM 2, Selangor 1

Oleh: HAFIZAN TAIB

MELAKA, 5 MAC: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menundukkan pasukan pilihan, Selangor 2-1 dalam pusingan ketiga Piala FA di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ternyata gagal meneruskan rentak cemerlang dipersembahkan dalam Liga Super selepas buntu mencipta penyudah berkesan diimpikan.

Tekad The Cops memberikan cabaran hebat kepada penyandang juara Piala Malaysia itu nyata berhasil dengan gerakan dan serangan kemas yang mampu mengugat pertahanan Selangor.

10624618_1027667440639080_4855522166731125490_nSerangan demi serangan dilancarkan penuh hati-hati kedua pasukan akhirnya memihak kepada PDRM yang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 38 menerusi Ahmad Nizam Rodzi.

Ahmad Nizam menyudahkan hantaran lintang Safuwan Baharudin dengan tendangan kencang melepasi jangkauan penjaga gol The Red Giants, Mohd Khairul Azhan.

Skuad Merah Kuning cuba bangkit daripada ketinggalan dengan serangan balas disusun menerusi gandingan penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi.

Bagaimanapun benteng pertahanan PDRM diterajui ketua pasukan, Faizal Muhamad, kental bertahan untuk mengekalkan pendahuluan diperoleh hingga separuh masa pertama berakhir.

Selangor memulakan separuh masa kedua dengan satu pertukaran apabila memasukkan Azmi Muslim menggantikan Raimi Md Nor dalam usaha menyaingi lawan.

Bagaimanapun beberapa serangan dilakukan ke kubu tuan rumah terus gagal menghasilkan gol sebaliknya PDRM menambah derita Merah Kuning apabila memperoleh gol kedua hasil tandukan Safuwan (m58).

Safuwan mendapat hantaran dari sepakan percuma Lot Abu Hassan yang disudahi dengan baik apabila gagal diselamatkan Mohd Khairul Azhan.

IMG_20160304_234751Mendahului dengan kelebihan dua gol membuatkan penghuni tangga kelapan Liga Super tambah yakin untuk terus memberi tekanan kepada The Red Giants dengan beberapa serangan balas berbahaya.

Selangor memasukkan Abdul Hadi Yahaya (m60) menggantikan S Veenod untuk membantu menghidupkan bahagian serangan yang dilihat kurang berkesan.

Biarpun banyak melancarkan serangan, namun pendahulu Liga Super itu dikecewakan penjaga gol PDRM, Haziq Nadzli, yang sering berjaya menyelamatkan pintu golnya.

The Red Giants hanya mampu mendapatkan gol tunggal menerusi Ronaldinho (m86) menerusi satu gerakan kemas di depan pintu gol lawan.

Sungguhpun pemain Selangor cuba bangkit mencari gol penyamaan, tetapi The Cops mampu bertahan bagi mengekalkan kedudukan hingga wisel penamat.

Skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus ternyata menghadirkan cabaran getir buat The Red Giants hingga berjaya dalam misi ke suku akhir.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.