OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM,1 APRIL: Sejumlah RM8 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) bagi membiayai program sulung biasiswa Pasca Ijazah (PHD).
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM5 juta akan digunakan mulai tahun ini.
“Pada masa ini, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sudah menyediakan TKWBNS.
“Kini, kita dalam peringkat akhir bagi menggubal polisi dan mekanisme pelaksanaan sebelum diangkat kepada Lembaga TKWBNS pada Mei ini,” katanya ketika sesi penggulungan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, kelulusan peruntukan itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Disember 2015.
Katanya, ia bagi memberi peluang kepada individu cemerlang dari aspek akademik dan dan ko-kurikulum untuk melanjutkan pengajian di peringkat PHD dalam bidang strategik di universiti terkemuka luar negara.
“Tawaran panggilan pertama dijangka dapat dilakukan selewatnya akhir 2016,” katanya.
-AA-