OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 4,038 jemaah haji di Selangor terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.
Pengarah Tabung Haji Selangor, Syawal Abong, berkata bakal haji mula berangkat ke tanah suci dengan penerbangan bermula 4 Ogos dan berakhir 5 September depan.
Katanya, bakal haji Selangor tahun ini kebanyakkannya terdiri daripada bakal haji yang pertama kali menunaikan ibadah haji.
“Daripada 22,320 bakal haji, seramai 4,038 daripada Selangor dan majoritinya adalah jemaah yang pertama kali menunaikan haji.
“Ia juga membabitkan 47 penerbangan keseluruhan daripada Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Kursus Perdana Haji musim 1437/2016M.
Kursus dianjurkan Tabung Haji bermula 15 Julai hingga 31 Julai diadakan secara berperingkat di seluruh negara.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan penutup kursus.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah.
Sementara itu, bagi Noraida Mohd Noor, 48, menyuarakan rasa gembira kerana terpilih ke tanah suci ketika umur yang masih muda.
Katanya, beliau tidak menyangka terpilih selepas menunggu sejak 2007.
“Tak sangka terpilih jika ikut tawaran tahun depan baru dapat..Alhamdulillah terpilih awal.
“Untuk persiapan tinggal sedikit sahaja lagi. Saya dan suami akan berlepas ke tanah suci pada 7 Ogos depan,” katanya yang berasal dari Semenyih.
Beliau berharap diberikan kesihatan cukup untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima itu.
“Ini kali pertama saya untuk ke tanah suci. Umrah pun saya tidak pernah sampai. Saya sangat berdoa untuk diberikan kesihatan yang cukup dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
EZY