Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jemaah Haji perlu bersedia hadapi ujian dan dugaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan jemaah haji supaya berhati-hati dan berwaspada ketika berada di tanah suci.

Baginda bertitah bakal haji yang berhadapan dengan sebarang masalah atau kemusykilan segera rujuk kepada petugas yang disediakan oleh pihak Tabung Haji.

“Beta mahu bakal haji sentiasa bersedia menghadapi dugaan dan cabaran yang mungkin dihadapi semasa musim haji.

Makkah in Saudi Arabia“Beta berkenan menasihatkan agar semua bakal haji juga dapat memberikan fokus sepenuhnya dalam menunaikan ibadah haji disamping menjaga tingkah laju dan akhlak,” titah baginda ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1437/2016M, di Masjid Negeri, di sini.

Baginda bertitah bakal haji juga sentiasa menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadah masing-masing dan sentiasa berjimat cermat.

“Bakal haji juga dinasihatkan untuk tidak membeli belah dengan berlebihan dan tidak boros apabila berbelanja di sana.

“Tunaikanlah ibadah haji dengan tertib, sabar serta mengikut peraturan yang dikeluarkan dari masa ke semasa,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda mahu bakal haji membuat persiapan sebaik-baiknya sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Titah baginda hal itu kerana ibadah haji memerlukan kesihatan fizikal yang baik dan kekuatan mental.

“Tahniah kepada bakal haji yang terpilih. Sesungguhnya ramai lagi umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji tetapi tidak berpeluang kerana kuota yang terhad.

“Pada bakal haji, jika terdapat jemaah yang mengalami sakit atau demam, segeralah berjumpa dengan doktor yang disediakan oleh Tabung Haji,” titah baginda.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.