OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebanyak 24 kontraktor menerima tawaran Kutipan Sampah Domestik Sesi 2016-2019 daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata kontrak itu ditambahbaik berbanding kontrak sebelumnya seperti dari segi kekerapan kutipan bagi rumah jenis ‘landed’.
“Pengubahan jadual kekerapan kutipan bagi rumah jenis ‘landed’ dari tiga kali tiga kali seminggu kepada empat kali seminggu mengambil kira kutipan sampah pada hujung minggu.
“Bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram, kerja kutipan sisa domestik di premis seperti industri sesebuah, industri teres, berkembar dan hotel juga dilaksanakan dengan kekerapan kutipan lima kali seminggu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kontraktor juga perlu menyediakan bilangan lori kompaktor mengikuit bilangan dan spesifikasi ditetapkan.
“Pada masa sama, lori kompaktor ini juga perlu dipasang dengan alat Automatic Vehicle Locating System (AVLS) bagi memudahkan pemantauan pergerakan.
“Kos pemasangan alat dianggarkan melibatkan harga RM1,000 hingga RM3,000, manakala sewa untuk sistem pemantauan dianggar RM160 sebulan,” katanya.
Kontrak baru ini juga, menyatakan kontraktor perlu menyediakan tong sampah MGB120 liter untuk setiap ‘landed house’ dan MBSA membayar kontraktor setelah selesai proses penyediaan dan penghantaran tong.
Difahamkan, 24 kontraktor dilantik 1 Julai lalu menjalankan tugas di 24 Zon, manakala satu zon kutipan sampah domestik dilaksanakan kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA yang melibatkan Seksyen 10,11 dan 12.
“MBSA mengenakan tindakan tegas kepada kontraktor dilantik dan penamatan kontrak dibuat segera sekiranya kontraktor gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.
EZY