Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia ambil alih tanah jika tiada pembangunan

OLEH : HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 19 JULAI: Kerajaan Negeri sedia mengambilalih kembali kawasan tanah diluluskan kepada Kerajaan Persekutuan di Selangor sekiranya tiada perancangan bagi tujuan pembangunan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membincangkan perkara terbabit dalam mesyuarat diadakan baru-baru ini kerana terdapat beberapa kawasan tanah masih belum dibangunkan dalam tempoh lama.

Katanya, Kerajaan Negeri membuat keputusan perbincangan diadakan dengan Kementerian Pendidikan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai perancangan bagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Azmin MB“Kita sedang menunggu maklum balas daripada kementerian sama ada mempunyai perancangan dan peruntukan bagi pembangunan sekolah ini.

“Kalau tidak, kita akan ambil semula tanah terbabit,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Taman Puchong Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai persoalan media terdapat rungutan orang ramai di kawasan pembangunan Rumah Selangorku yang tidak mempunyai kemudahan awam.

Katanya, banyak tanah diluluskan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan awam seperti pembinaan sekolah rendah dan menengah selain hospital dan sebagainya tetapi belum dibangunkan.

“Terdapat kawasan tanah melebihi 10 tahun maka keputusan kita supaya Setiausaha Kerajaan Negeri mengadakan pertemuan dengan kementerian bagi mendapat maklum balas mengenai perancangan pembangunan.

“Apakah sudah ada perancangan bagi pembangunan sekolah di atas tanah diluluskan ini kerana kebimbangan kita ialah apa berlaku pada masa lalu terdapat kawasan ini dijual Kerajaan Persekutuan kepada pihak swasta bagi tujuan komersil.

“Ia berlawanan dengan prinsip kelulusan dan pemberian tanah ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.