OLEH SYASYA SUFIAN
SHAH ALAM, 22 JUL: Sebuah keluarga dari Sabah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila tidak mampu membeli tiket pulang ke kampung selepas cuti beraya di semenanjung.
Menurut laman facebook LZS, tujuan asal seorang ibu bersama tiga anaknya datang ke semenanjung adalah untuk beraya bersama suami yang hanya tinggal di sebuah bilik sewa.
“Si suami menjangkakan beliau mampu membelikan tiket balik untuk isteri dan tiga lagi anaknya selepas beraya bersama.
“Namun, di khabarkan gaji sepatutnya diperoleh sebanyak RM900 hanya tinggal separuh kerana dipotong hutang tertentu menyebabkan tiket untuk balik ke Sabah tidak mampu dibelinya,”katanya dalam kenyataan.
Berita itu diadukan beliau kepada LZS di Kajang setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mengumpul wang membeli tiket tidak berhasil.
“Setelah kami melalukan siasatan, keluarga tersebut dibantu dan mereka telah selamat sampai ke Sabah berkat bantuan zakat di bawah Ibnu Sabil bersama sebuah badan NGO,” katanya.
-nR-