Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PWS bangun projek hartanah RM300 juta

SHAH ALAM 26 JULAI : Projek hartanah kediaman dan komersil dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM300 juta dibangunkan Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME), anak syarikat Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Azli Md Yusof, berkata projek itu dibangunkan dalam tempoh lima hingga enam tahun melalui tiga fasa.

Katanya fasa pertama membabitkan tanah wakaf di sekitar Klang, fasa kedua untuk pembangunan rumah kediaman di Hulu Langat dan fasa ketiga bagi pembinaan hartanah komersial serta stesen minyak.

urusmaju.transformed“Jumlah tanah wakaf di Selangor kira-kira 480 hektar dengan 70 peratus daripadanya adalah tanah wakaf khas. Kami menumpukan pembangunan membabitkan tanah wakaf am terbiar.

“Tanah wakaf dibangunkan membabitkan keluasan kira-kira 12 hingga 16 hektar bagi setiap fasa,” katanya dipetik BH Online

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian pembiayaan pembangunan tanah wakaf berjumlah RM15.5 juta dengan Bank Islam di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd, Datuk Seri Zukri Samat dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin.

Mohd Azli berkata, pembiayaan berkenaan merangkumi dua projek pembangunan tanah wakaf di sekitar Klang, Selangor seluas 2.4 hektar.

Katanya, projek pertama merangkumi pembinaan 164 unit pangsapuri serta 12 unit lot kedai di Jalan Kebun, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor.

Beliau berkata, projek kedua membabitkan pembangunan 13 unit kedai pejabat dan 34 unit bazar di Jalan Teratai, Mukim Kapar, Daerah Klang.

“Kerja pembangunan projek ini dijangka dimulakan tahun ini. Kami sudah mendapat kelulusan pihak berkaitan dari segi perancangan projek ini,” jelasnya.

Sementara itu, Zukri berkata, menerusi perjanjian pembiayaan berjumlah RM15.5 juta itu, Bank Islam menyediakan pembiayaan projek serta pembiayaan akhir untuk pembelian unit pangsapuri, rumah kedai dan kedai pejabat melalui produk Al-Waqf Home Financing-i.

Beliau berkata, pembiayaan berkenaan juga adalah antara inisiatif bank itu bagi menyumbang kepada perkembangan industri wakaf di Malaysia selain meningkatkan pegangan aset umat Islam di negara ini.

“Sebagai peneraju perkhidmatan perbankan Islam di negara ini, Bank Islam berpengalaman dalam menguruskan projek imarah wakaf yang lain sejak 2009.

“Antaranya ialah projek Menara Bank Islam yang kini adalah ibu pejabat korporat kami,” katanya.

INFO

* Kos pembangunan kasar kedua-dua projek – RM50 juta.
* Ia terletak di atas tanah wakaf am.
* Wakaf am – pewakaf berniat mewakafkan harta tanpa pengkhususan, namun hasil pembangunannya disalurkan untuk manfaat umat Islam.
* Setakat 2014, jumlah tanah wakaf am dan khas di Malaysia seluas 11,091.82 hektar.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.