Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tewas di tempat sendiri, Zainal Abidin akui kecewa

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kehilangan dua tonggak utama, Andik Vermansyah dan R Gopinathan sangat dirasakan ekoran mereka adalah perancang penting dalam menjana serangan Selangor.

Jurulatih The Red Giants, Zainal Abidin Hassan mengakui Selangor tidak berjaya memanfaatkan peluang terhidang walaupun berjaya merencana serangan ke kubu KL Felda United.

“Saya tidak menafikan ketiadaan Gopi dan Andik kita kehilangan rentak, malahan saya tidak tahu bagaimana bentuk peluang yang mereka (pemain) mahukan.

Zainal Abidin“Saya akui tidak gembira kita kehilangan mata hari ini (semalam). Satu kesilapan kita dihukum dan banyak perubahan perlu dilakukan,” katanya.

Zainal berkata, kecederaan pemaim di saat mengharungi jadual padat kempen Liga Super dan TM Piala Malaysia nyata merencatkan rentak persembahan Selangor.

“Dalam perlawanan Piala Malaysia, saya harap pemain akan bangkit seperti aksi sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Samah, berkata kejayaan menewaskan Selangor sebagai detik manis, apatah lagi mereka kini bersaing rapat dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Bagi saya, ia kemenangan manis kerana pasukan tunggal yang boleh mengejar kami di atas adalah Selangor.

“Saya beranggapan kemenangan tadi (semalam) adalah titik perubahan mencipta kejayaan,” katanya.

Irfan berkata, pasukannya tidak boleh leka dalam mengutip mata memandangkan semua pasukan masih perlu mengharungi baki tujuh perlawanan di dalam jadual padat hingga kempen Liga Super 2016 berakhir.

Beliau turut memuji aksi barisan pemainnya yang berjaya mendominasi permainan selain merantai gerakan pemain Selangor daripada mencipta peluang menjaringkan gol.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.