Categories
SELANGOR

Zainal: Selagi pemain Selangor, Azrif kekal dalam perancangan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 JUL: Pemain pertahanan, Azrif NasrulHaq Badrul Hisham, masih pemain Selangor dan kekal dalam perancangan pasukan bagi menghadapi perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, berkata khidmat pemain kebangsaan itu akan terus ditagih Selangor selagi beliau kekal dalam pasukan dan menunjukan prestasi baik.

ZAINAL ABIDIN“Azrif masih di atas padang (perlawanan malam tadi).

“Selagi dia bersama Selangor, dia adalah pemain Selangor dan selagi dia menunjukan permainan yang bagus,” katanya kepada media selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Zainal menyenaraikan Azrif dalam kesebelasan utama dan bermain sepenuh masa dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia dengan kemenangan The Red Giants 1 – 0.

Azrif sebelum ini mencetuskan kontroversi sejak awal musim dan difahamkan memohon pelepasan daripada Selangor sebelum berakhir musim ini untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Terdahulu, Pengurus pasukan, Amirudin Shari berkata, sungguhpun menerima tawaran JDT tetapi Red Giants membuat ketetapan Azrif mesti dikekalkan untuk menghadapi saingan mencabar dalam pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia.

AZRIF“Tidak mudah untuk kita melepaskan pemain tanpa mendapat gantian yang baik namun keputusan setakat ini tidak membenarkan Azrif berhijrah kecuali ada tawaran atau pilihan lebih baik,” katanya.

Difahamkan, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) sedang mengadakan perbincangan berhubung perpindahan pemain berkenaan.

Kini Liga Super dan Perdana memasuki fasa kedua tempoh pendaftaran perpindahan pemain di mana Lembaga Pengarah Football Malaysia (LLP) memutuskannya selaras ketetapan ‘FIFA Regulations on the Status and Transfers of Players’.

Pendaftaran perpindahan itu bermula 20 Jun hingga 15 Julai dengan pendaftaran pemain tempatan berakhir pada 12 tengahari manakala pemain import pada 11.59 malam.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.