Categories
NASIONAL

Malaysia perlu cermat, elak hubungan diplomatik retak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JUL: Malaysia perlu berhati-hati sebelum mengalu-alukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) mengenai tuntutan beberapa kawasan di Laut China Selatan antara Filipina dan China.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata sebarang risiko antara kesemua negara itu perlu dikurangkan demi menjaga hubungan perdagangan dan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama.

LAUT CHINA SELATAN“Memandangkan kepentingan China sebagai rakan perdagangan dan ekonomi, Malaysia perlu mengurangkan risiko campurtangan China dengan meneruskan rundingan dua hala dalam bidang pertikaian serta berunding untuk penubuhan Kod Teguh Tatalaku (COC) dalam Laut China Selatan antara ASEAN dan China.

“Pilihan menggunakan (mahkamah) timbang tara antarabangsa sebagai satu cara mendapatkan keputusan mengenai bidang pertikaian antara Malaysia dan China di Laut China Selatan perlu digunakan secara strategik dan apabila pilihan lain telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara pada semalam (12 Julai 2016) menetapkan beberapa penemuan penting yang berbangkit daripada kawasan dituntut Malaysia dan China di Laut China Selatan.

Antara penemuan itu mendapati bahawa China tidak ada asas undang-undang menuntut hak bersejarah kepada sumber di dalam kawasan laut yang termasuk dalam ‘sembilan garis-dash’.

Sementara memetik laporan BERNAMA, Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata ASEAN perlu berbincang dengan China bagi mempercepat pencapaian Kod Tata Cara (CoC) mengenai Laut China Selatan ketika meningkatnya ketegangan dan kebimbangan keselamatan.

Katanya, keputusan itu sewajarnya menjadi pendorong bagi ASEAN, terutama empat negara pembuat tuntutan yang mendesak China menerima CoC.

Selain Filipina, negara-negara penuntut ASEAN yang lain ialah Brunei, Malaysia dan Vietnam.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.