Categories
SUKANKINI

Gunalan: Satu gol belum selamat buat Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: The Red Giants tidak mempunyai bekalan defisit gol cukup untuk mengharungi pertembungan kedua suku akhir TM Piala Malaysia walaupun mencatatkan kemenangan 4-3 ke atas PKNS FC.

Pengendali Selangor, K Gunalan, berkata baki 90 minit permainan akan menentukan nasib kedua pasukan ditambah mereka hanya dipisahkan dengan satu jaringan.

“Saya rasa (kedudukan) masih belum selamat, kita perlu berusaha lagi kerana walaupun mendahului satu gol tetapi kita perlu berkerja keras pada suku akhir kedua untuk melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Katanya, kelekaan benteng pertahanan diakui membuka ruang buat PKNS FC bangkit hingga satu ketika berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Namun, secara keseluruhan Gunalan berpuas hati dengan persembahan The Red Giants termasuk prestasi Mauro Olivi yang kembali beraksi selepas dibelenggu kecederaan.

GUNALANSementara itu, PKNS FC berikrar akan bangkit dalam baki 90 minit permainan suku akhir kedua TM Piala Malaysia untuk terus mengorak langkah ke separuh akhir.

Jurulatihnya, E Elavarasan, berkata peluang masih terbuka buat The Red Ants memadam defisit satu gol asalkan mereka segera bangkit pada pertembungan kedua, pada 17 September ini.

“Kita rasa perlawanan masih terbuka dan tidak akan ada perbezaan.

“Apabila bertemu lawan sama dari pasukan negeri, kita akan cuba bangkit secepat mungkin,” katanya.

Katanya, kelalaian benteng pertahanan pada minit akhir permainan akhirnya dihukum hingga terpaksa melepaskan empat jaringan kepada Selangor.

“Walaupun kita bangkit hingga menyamakan kedudukan tetapi kehilangan konsentrasi beberapa minit dan kesilapan memberi kesan kepada pasukan.

“Saya terima kekalahan dan PKNS FC akan bangkit selepas ini,” katanya.

-AA-