Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

TM Piala Malaysia: Selangor benam PKNS FC 4-3

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Selangor berjaya bangkit pada minit akhir permainan bagi memastikan bekalan selesa di peringkat suku akhir TM Piala Malaysia apabila menewaskan PKNS FC dengan keputusan 4-3.

Beraksi di hadapan hampir 3,000 penyokong, pertembungan ‘adik-abang’ di Stadium Shah Alam itu menyaksikan kedua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dengan corak permainan saling berbalas serangan.

Selangor terlebih dahulu mendahului PKNS FC menerusi jaringan pemain pertahanan, Ugochukwu Ukah seawal minit keempat.

Ukah yang berjaya melepasi perangkap ‘off-side’ menanduk masuk bola sepakan percuma Mohd Azmi Muslim yang terlebih dahulu singgah di palang gol PKNS FC.

Andik Vermansyah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan, namun percubaannya pada minit ke-16 berjaya ditepis penjaga gol PKNS FC, Md Norhaziq Md Aris.

Seminit kemudian, Ahmad Hazwan Bakri melebarkan kedudukan Selangor kepada 2-0 menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti selepas menerima tolakan daripada S Veenod.

PKNS FC kembali merapatkan jurang kedudukan kepada 2-1 menerusi Juan Manuel Corbelli pada minit ke-27 selepas berjaya menanduk masuk hantaran Matias Nicolas Hadwa.

Di penghujung babak pertama, R Gopinathan sekali lagi gagal menyudahkan peluang terhidang bagi meletakkan Selangor selesa mendahului apabila sekadar melakukan rembatan lemah ke gawang PKNS FC.

PKNS FCBersambung babak kedua, R Gopinathan akhirnya mencatatkan nama selaku penjaring ketiga apabila dengan mudah menolak masuk bola lorongan Andik Vermansyah ke gawang PKNS FC pada minit ke-52.

Andik dan Ukah turut menguji benteng pertahanan PKNS selang tiga minit kemudian, namun percubaan mereka berjaya diselamatkan Md Norhaziq.

PKNS FC kembali menjadikan kedudukan 3-2 menerusi Gonzalo Manuel Soto selepas berjaya menolak masuk bola muntah sepakan percuma Gabriel Miguel Geurra yang terlebih dahulu terkena palang pada minit ke-60.

Gabriel Miguel Guerra menjadikan kedudukan terikat 3-3 pada minit ke-74 selepas berjaya memperdaya pertahanan Selangor sebelum merembat kencang bola ke gawang melepasi jangkauan Mohd Khairulazhan.

Mauro Olivi muncul wira The Red Giants apabila merembat kencang pada minit ke-84 bagi memastikan Selangor kembali mendahului 4-2.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan dan kedua pasukan akan bertemu sekali lagi bagi perhitungan suku akhir kedua pada 17 September di Stadium Shah Alam.

-AA-