Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Laksanakan reformasi pilihan raya bukan sekadar persempadanan

SHAH ALAM 17 OGOS: Persempadanan semula kawasan pilihan raya hanyamewujudkan keputusan tidak adil sekiranya reformasi tidak dilaksanakan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata sebagai badan sepatutnya bebas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi secara efektif.

Katanya, merujuk laporan Projek Integriti Pilihan Raya (2014), Malaysia di kedudukan rendah dalam aspek integriti apabila berada di tangga 66 daripada 73 negara yang menjalankan pilihan raya parlimen dan presiden dari Julai 2012 hingga Disember 2013.

“Sebarang cubaan memanipulasi pilihan raya dilihat langkah melindungi dominasi politik dan kroni kapitalisme yang sedang memusnahkan ekonomi negara,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan media.

Katanya, persempadanan semula tidak menterjemahkan demografi pengundi sebenar, tetapi hanya menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan memperlihatkan Kerajaan Persekutuan tidak ikhlas membela nasib rakyat.

Nurul-Izzah-Anwar-258x300“Kita perlu membantah kaedah persempadanan semula dijalankan SPR sehingga mereka melaksanakan cadangan diajukan Jawatankuasa Parlimen Reformasi Pilihan Raya pada 2012,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden dan Pengarah Pilhan Raya KEADILAN.

Beliau berkata jawatankuasa parlimen menyarankan penubuhan tiga suruhanjaya bebas berbeza – bertanggungjawab menguruskan pilihan raya, pemutihan daftar pemilih dan menyemak semula kawasan pilihan raya.

“Malaysia mendambakan pendekatan reformasi pilihan raya untuk memastikan pilihan raya umum akan datang tidak dirompak oleh puak kleptokrat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.