Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada pemansuhan pemilikan kuota bumiputera

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Prinsip membenteras kemiskinan tidak mengenal warna kulit, agama dan bangsa bahkan sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu serta menyediakan infrastruktur buat rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri tidak memansuhkan kuota bumiputera tetapi membuka peluang kepada semua dari sudut kuota pemilikan.

“Untuk rumah mampu milik, sama ada SOHO atau kemudahan lain, atas nama mampu milik atau kos rendah, ia tidak dikenakan syarat kaum.

“Apabila berbicara soal kemiskinan, ia merentasi kaum dan agama. Dasar Kerajaan Negeri adalah membantu golongan berpendapatan rendah memiliki hartanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung isu diskaun bumiputera untuk pembelian ketiga-tiga kategori hartanah pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan SOVO (pejabat maya di rumah).

Katanya, antara syarat melibatkan pemilikan hartanah seperti rumah mampu milik mesti mengikuti syarat ditetapkan seperti rekod bank, jumlah pendapatan isi rumah serta tidak memiliki rumah.

Mohamed Azmin mengakui beberapa garis panduan baru pemilikan hartanah sudah diputuskan dan perinciannya bakal diumumkan Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

“Ada beberapa garis panduan baru yang kita persetujui dan ia akan diumumkan lebih terperinci,” katanya.

EZY