Categories
SELANGOR

Selat Klang mahu tubuh Skuad Anti Sampah

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 29 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berhasrat menubuhkan Skuad Anti Sampah di kawasannya.

Beliau berkata, skuad berkenaan mempunyai fungsi seakan Skuad Anti Denggi yang dilaksanakan sebelum ini.

“Kita mahu semua surau, masjid, kuil, tokong, sekolah, tadika, padang, kelab dan lain-lain komuniti terlibat dalam inisiatif ini.

“Sama-sama kita wujudkan masyarakat yang tidak suka pembuangan sampah merata-rata kerana tempat kita bukan tong sampah besar,” katanya.

Dr Halimah AliBeliau berkata demikian ketika sesi Dialog Rakyat anjuran KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) di sini, semalam.

Turut serta, Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohd Prasad Hanif dan Mohamad Baseri Mohd Taib.

Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, lebih 100 penduduk menyertai sesi dialog yang julung kali diadakan itu.

Halimah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab memastikan pengurusan sisa sampah lancar.

“Sebagai penduduk, kita harus pastikan tempat tinggal kita bersih dan mudahkan pihak kontraktor melakukan kerja kutipan sampah domestik,” katanya.

-nR-