Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MCA perlu mohon maaf buat tuduhan melulu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OGOS: MCA dituntut memohon maaf kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana menuduh beliau serta pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menghormati penganut agama.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, MCA juga perlu memohon maaf kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), PKR, DAP dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, yang sebelum ini mendedahkan pihaknya sudah berbincang dengan PBT serta bersetuju gereja di Ladang Brehma, Kajang yang terbengkalai itu dirobohkan.

Katanya, Paderi Julian pada 19 Ogos lalu memberitahu penganut Gereja Holy Family di Kajang bahawa beliau bersetuju membenarkan MPKj meroboh gereja St Joseph itu, yang satu ketika dahulu digunakan pekerja Ladang Brehma.

ong-kian-ming“Maklumat mengenainya boleh diperolehi daripada PBT dan Kerajaan Negeri selain Perseketuan Kristian Malaysia dan gereja Katolik yang terlibat.

“Kenyataan itu tidak bertanggungjawab kerana MCA sepatutnya mendapatkan maklumat sebelum membuat tuduhan. Ketua Paderi Katolik itu sendiri merestui ia dirobohkan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Julian memaklumkan untuk menasihatkan paderi, Surain Durai Raj, yang pernah memimpin gereja itu bagi bekerjasama dan membantu PBT memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Gereja kecil di Jalan Saujana pada asalnya dibina di Ladang Brehma untuk memenuhi keperluan pekerja Katolik di situ.

Ekoran penutupan ladang dan pembangunan di sekitar kawasan tersebut, gereja itu sudah tidak lagi digunakan dan menjadi bangunan tidak sah di rizab jalan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ng Chok Sin menuduh MPKj bertindak melulu dan melakukan perobohan di tengah malam tanpa pengetahuan penganut Katolik di situ.

Chok Sin mendakwa Pakatan tidak menjaga hak agama orang bukan Islam dalam isu perobohan gereja terbabit selain menyalahkan Azizah yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.