Categories
NASIONAL

Prestasi perdagangan negara meningkat 1.3%

KUALA LUMPUR 6 OGOS: Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 1.3 peratus kepada RM704 bilion bagi separuh pertama 2016 berbanding RM694.98 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, menyatakan pertumbuhan positif itu disokong terutama oleh perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Bangladesh, Turki dan Mexico.

Dalam tempoh berkenaan, lebihan dagangan negara meningkat kepada RM41.79 bilion daripada RM41.69 bilion pada tempoh sama 2015, dengan eksport menokok 1.2 peratus (RM4.56 bilion) kepada RM372.9 bilion dan import naik 1.4 peratus (RM4.46 bilion) kepada RM331.11 bilion.

“Prestasi lebih baik itu disumbangkan sebahagiannya oleh pertumbuhan perdagangan pada Jun 2016 yang meningkat 5.7 peratus berasaskan tahun ke tahun kepada RM127.38 bilion.

“Eksport Jun 2016 pulih dengan mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus kepada RM66.45 bilion, setelah merekodkan pertumbuhan negatif pada Mei 2016. Import meningkat 8.3 peratus atau RM4.65 bilion kepada RM60.93 bilion,” tambah laporan itu.

Menurut MITI, lebihan dagangan pada Jun 2016 berjumlah RM5.52 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-224 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Secara keseluruhan, kenaikan eksport dicatatkan bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian, meskipun eksport hasil galian berkurang.

“Eksport barangan perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun 2016 menokok RM16.31 bilion (5.6 peratus) kepada RM309.17 bilion berbanding enam bulan pertama tahun 2015,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan berkenaan, prestasi perdagangan dengan ASEAN kekal kukuh pada separuh pertama 2016, dengan eksport berkembang enam peratus atau RM6.19 bilion kepada RM110.04 bilion, sekali gus menyumbang 29.5 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, import dari ASEAN menurun 3.2 peratus kepada RM82.88 bilion, manakala perdagangan dengan ASEAN meningkat 1.8 peratus kepada RM192.92 bilion.

Antara pasaran utama ASEAN, peningkatan eksport direkodkan ke Singapura dengan peningkatan RM2.68 bilion, disumbang terutama oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik serta ke Vietnam menambah RM3.47 bilion, dipacu peningkatan eksport keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.