Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor negeri pertama perkenal SOHO mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 OGOS : Selangor tampil sebagai negeri pertama mengawal pembangunan SOHO dan SOVO di negara ini dengan memastikan setiap pemaju membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata pemaju ditetapkan perlu memberi diskaun kepada semua pembeli tanpa mengira kaum sementara jualan unit mampu milik dikawal Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Katanya, usaha itu diambil setelah melihat kepada jurang perbezaan harga yang besar diantara unit mampu milik dan unit biasa di pasaran.

“Jika dahulu kebanyakan harga jualan SOHO dan SOVO paling rendah adalah di antara RM450,000 hingga RM500,000. Tetapi unit mampu milik adalah di antara RM230,000 hingga RM270,000.

“Memandangkan perbezaan harga besar di antara unit mampu milik dan unit biasa, tiada diskaun tambahan diberikan kepada pembeli. Sebenarnya harga jualan asal dipersetujui dengan pemaju adalah lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, pembeli perlu mendaftar dengan LPHS berdasarkan beberapa kriteria seperti pendapatan isi rumah.

“Pemaju tidak boleh menjual unit mampu milik sesuka hati selain kuota jualan Bumiputera tetap akan dikuatkuasakan,” katanya.

EZY