Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Noh boleh jumpa kerani LPHS

OLEH AFIX REDZUAN

BANGI, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bertemu kerani Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam masa terdekat.

Jemputan itu bagi memudahkan Noh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) yang diturunkan harga.

“Nanti saya suruh Noh Omar jumpa kerani LPHS untuk terangkan kepada dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al-Hasanah Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Semalam, Noh menerusi media menggesa Kerajaan Selangor mengemukakan data terperinci mengenai penurunan harga tiga jenis hartanah yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, beliau selaku menteri mahu meneliti beberapa perkara, termasuk membandingkan harga ditetapkan dengan keluasan harta tanah itu.

SELANGOR SOHOTerdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Pembangunan Pangsapuri Kediaman Komersial dan Boutique Office mampu milik khusus kepada golongan usahawan muda baru menceburi perniagaan serta tidak memerlukan ruang pejabat besar.

Menerusi polisi baru itu, pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah (SOHO dan SOVO) yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Meskipun dijual pada harga lebih murah, syarat jualan unit mampu milik itu tetap dikawal Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan unit tersebut hanya dijual kepada mereka yang mendaftar dengan LPHS.

-nR-

Categories
SELANGOR

Persekutuan patut berani wajibkan pemaju bina SOHO mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 OGOS: Tidak timbul isu penghianatan kepada rakyat yang memerlukan kediaman seperti laporan sesetengah media kerana sasaran pembinaan SOHO dan SOVO sama sekali tidak sama dengan rumah mampu milik, Rumah Selangorku.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata cubaan pihak tertentu memburukkan Kerajaan Negeri itu hanya mendedahkan kejahilan mereka terhadap fakta sebenar.

“Rumah Selangorku dibina di atas tanah berstatus kediaman tetapi SOHO dan SOVO dibina di atas tanah berstatus perniagaan.

“Cukai tanah dan cukai pintu malah tarif air dan elektrik adalah lebih tinggi bagi tanah berstatus perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata Rumah Selangorku juga kekal pada harga diantara RM42,000 hingga RM250,000 berbanding rumah mampu milik Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM300,000.

Menyentuh pengenalan SOHO dan SOVO mampu milik, Iskandar berkata Kerajaan Negeri mempunyai polisi mewajibkan pemaju membina SOHO dan SOVO mampu milik berbeza dengan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Barisan Nasional belum memiliki polisi seperti itu.

“Kenapa agaknya mereka tidak berani mewajibkan pemaju membina unit-unit mampu milik?,” soalnya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor negeri pertama perkenal SOHO mampu milik

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 30 OGOS : Selangor tampil sebagai negeri pertama mengawal pembangunan SOHO dan SOVO di negara ini dengan memastikan setiap pemaju membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata pemaju ditetapkan perlu memberi diskaun kepada semua pembeli tanpa mengira kaum sementara jualan unit mampu milik dikawal Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Katanya, usaha itu diambil setelah melihat kepada jurang perbezaan harga yang besar diantara unit mampu milik dan unit biasa di pasaran.

“Jika dahulu kebanyakan harga jualan SOHO dan SOVO paling rendah adalah di antara RM450,000 hingga RM500,000. Tetapi unit mampu milik adalah di antara RM230,000 hingga RM270,000.

“Memandangkan perbezaan harga besar di antara unit mampu milik dan unit biasa, tiada diskaun tambahan diberikan kepada pembeli. Sebenarnya harga jualan asal dipersetujui dengan pemaju adalah lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar berkata, pembeli perlu mendaftar dengan LPHS berdasarkan beberapa kriteria seperti pendapatan isi rumah.

“Pemaju tidak boleh menjual unit mampu milik sesuka hati selain kuota jualan Bumiputera tetap akan dikuatkuasakan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hampir 20,000 Ibu Tunggal Sudah Terima Bantuan Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 14 DIS : Seramai 19,454 ibu tunggal di Selangor telah mendapat manfaat dan kemudahan daripada berbagai skim yang dimulakan Kerajaan Selangor antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan.

Mereka adala daripada 24,009 ibu tunggal yang disahkan layak menerima skim-skim tersebut, berdasarkan statistik yang dikeluarkan portal rasmi ibu tunggal, e-bu.selangor.gov.my sehingga November.

Daripada 24,009, sebanyak 75.01 peratus didominasi kaum Melayu, diikuti India seramai 6.5 peratus, Cina 3.3 peratus, Orang Asal 0.01 peratus, dan kaum lain 15.12 peratus.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknnologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri komited dalam mengendalikan serta menawarkan pelbagai skim serta kemudahan kepada ibu tunggal yang tidak pernah diberikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Beliau berkata, skim itu antaranya ialah Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar) dan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas).

“Selain itu, ia turut merangkumi program Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim wanita kerja dari rumah, Bantuan Am sebanyak RM250, Laman Dapur, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

“Skim-skim yang ditawarkan adalah berkonsepkan mentor-mentee di mana seramai 19,454 ibu tunggal telah mendapat skim dan kemudahan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, kesemua skim yang ditawarkan memberi peluang kepada ibu tunggal berpendapatan kurang RM1,500 mendapat kemudahan dengan hanya mendaftar.

Dalam pada itu, Rodzuah turut menyarankan mana-mana ibu tunggal yang layak tetapi belum menerima bantuan untuk merujuk kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersifat terbuka terhadap kritikan dan bersedia mendengar idea yang bernas dan konstruktif kerana Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

“Berkaitan saman terhadap Kerajaan Selangor oleh pihak yang berkenaan, segalanya akan dijawab di dalam mahkamah. Penegasan lengkap dan menyeluruh akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebaik ketetapan mahkamah diperolehi,” katanya lagi.