Categories
NASIONAL

YSD ‘payung’ Azizulhasni RM100,000

SHAH ALAM,18 OGOS: Pencapaian pakar keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang di pentas Olimpik Rio dengan pingat gangsa memberi tuah buatnya apabila Sime Darby Foundation (YSD) memberi ganjaran RM100,000.

Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam berkata usaha keras ‘The Rocket Pocket Man’ itu mendapatkan pingat Olimpik pertama bagi Malaysia dalam acara keirin layak dihargai.

“Anda berusaha memberi terbaik dan berbangga dengan pencapaian anda.

“Seluruh negara bergembira bersama anda. Tidak lupa juga kepada jurulatih John Beasley dan seluruh pasukan kerana kegigihan anda semua, ia membuahkan hasil dan anda membuat Malaysia berasa bangga,” katanya dalam kenyataan.

Azizulhasni ialah ahli program YSD Track Cycling Team ‘Road to London Olympics 2012’ dibiayai YSD dengan tajaan berjumlah RM2 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012.

YSD menyambung sumbangannya dengan tajaan berjumlah RM2.85 juta untuk Azizulhasni dan Fatehah Mustapa melalui program ‘Road to Rio’.

13912310_10153846984771705_7574323187162673260_nAzizulhasni, 28 mempunyai prospek memenang emas, bagaimanapun anak jati Terengganu itu sekadar meraih pingat gangsa dalam cubaan kali ketiganya setelah gagal melayakkan diri ke pusingan akhir pada Olimpik Beijing 2008 dan menduduki tempat keenam pada Olimpik London 2012.

Disebalik kemenangan itu, Azizulhasni pada semalam mengingatkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan pihak berkaitan untuk membuka mata dengan kejayaannya itu.

Menerusi laman Facebooknya, Azizulhasni mendakwa Ahmad Razif tidak berkenan membantu beliau dan rakannya dan Fatehah (dua anak jati Terengganu) yang berjuang di peringkat Dunia.

“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal (cadangan) lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio,” katanya.

Kenyataan AzizulHasni itu bukan sahaja menarik perhatian media dan netizen di laman sosial malah mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.