Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizul pencetus inspirasi Shah Firdaus layak ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Tidak disangka pertemuannya dengan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang sembilan tahun lepas mencetuskan inspirasi untuk menjejakkan kaki ke temasya Sukan Olimpik satu hari nanti.

Bagi pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, peluang bersua muka dan merakam gambar kenangan bersama “The Pocket Rocketman” yang baharu pulang ke tanah air selepas beraksi dari London 2012 ketika itu, amat bermakna dalam perjalanan kariernya sehingga berjaya berkongsi pentas Olimpik bersama Datuk Azizulhasni di Sukan Olimpik Tokyo.

Mengimbau kembali detik indah berkenaan, Muhammad Shah Firdaus berkata pertemuan itu diatur oleh pembantu jurulatihnya ketika itu dikenali sebagai Zamani atau Abang Black.

“Bagi seorang budak lelaki biasa yang sangat suka mengayuh basikal, bersua muka dengan susuk Azizul amatlah bermakna. Sebelumnya hanya mampu melihat dari media dan bersorak dari depan televisyen di dewan makan.

“Pertemuan di detik itu telah menghidupkan api semangat dalam diri budak lelaki berbaju putih ini, menanam cita-cita untuk suatu masa nanti menjejak kaki di sukan temasya terbesar dunia itu,” katanya menerusi satu hantaran beserta dua keping gambar bersama Azizulhasni di laman Instagram hari ini.

Katanya, perjuangan dan perjalanan dialaminya sembilan tahun lepas penuh berliku selain menyifatkan penyertaan di Sukan Olimpik begitu “mahal” baginya seterusnya merealisasikan impiannya menggalas tugas serta cabaran untuk negara tercinta di Jepun bersama Azizulhasni.

“Bermula dari sekilas impian, dengan doa dan usaha, Alhamdulillah, ‘Olympic Dream’ (Impian Olimpik) kian menjadi realiti. Sungguh, realiti ini lebih indah dari mimpi. If you can dream it, you can do it (Jika anda mengimpikannya, anda boleh melakukannya),” kata beliau.

Kedua-dua pelumba berkenaan dijadual mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung di Velodrom Izu bermula 4 Ogos ini.

Sukan Olimpik Tokyo yang membuka tirai secara rasmi semalam akan berlangsung sehingga 8 Ogos ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni pilihan popular untuk Anugerah Atlet Terbaik

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menjadi pilihan popular bagi Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2019 yang bakal berlangsung pada 1 September ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Pelumba berusia 32 tahun yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu, menyerlah pada tahun lalu menerusi kejayaannya muncul juara kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge pada Disember lalu dengan mengejutkan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.

Kejayaan demi kejayaan yang dicatat oleh anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, melayakkannya diangkat sebagai model untuk pelumba trek remaja negara, selepas turut menguasai acara pecut dan keirin individu di Kejohanan Trek Kebangsaan.

Mohd Azizulhasni yang pernah menjulang anugerah itu pada 2009 dan 2017, bagaimanapun dijangka menghadapi saingan sengit daripada dua lagi atlet negara yang tidak kurang hebatnya dari segi pencapaian dan sumbangan pingat terhadap negara.

Mereka ialah S Kisona yang berjaya mempertahankan gelaran kejuaraan acara badminton perseorangan wanita di Sukan SEA Filipina, serta Farah Ann Abdul Hadi yang cukup cemerlang merangkul tiga pingat emas bagi sukan gimnastik dalam acara yang berasingan di Manila.

Turut dicalonkan ialah atlet wushu yang meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2019, Loh Choon How serta Julian Yee yang berjaya mempertahankan pingat emas acara luncur ais untuk kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada Sukan SEA 2017.

Presiden SAM, Jasni Shafie berkata wartawan sukan juga bakal menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM50,000.

“Anugerah akan dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

“Pemenang terbaik keseluruhan pula akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Olimpik 2020: ‘The Pocket Rocketman’ layak acara pecut

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, selepas memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Menurut ranking dunia terkini UCI yang dikeluarkan di www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia, dalam acara pecut individu selepas mengumpulkan 2,415 mata.

‘The Pocket Rocketman’ berusia 32 tahun sebelum ini layak ke Tokyo melalui acara kegemarannya ‘keirin’ selepas menduduki ranking kedua dunia, di belakang Harrie Lavreysen dari Belanda dengan 2,710 mata.

Ini adalah penampilan keempat Mohd Azizulhasni di Sukan Olimpik, selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Bagaimanapun seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal untuk melayakkan diri ke Tokyo, selepas menduduki ranking ke-15 dalam acara pecut dan ke-40 bagi acara keirin selepas mengumpul masing-masing 1,687.5 mata dan 1,102 mata.

Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, German, merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.

Sehingga kini 10 atlet Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu:

-Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik)
-Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard)
-Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial)
-Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470)
-Khairul Anuar Mohamad (memanah)
-Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (terjun 3m papan anjal)
-Pandelela Rinong Pamg (terjun 10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee (10m seirama)

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni tidak sertai acara pecut di Brisbane

SEPANG, 15 DIS: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak akan beraksi dalam acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Brisbane, Australia.

Pelumba berusia 31 tahun itu berkata, walaupun tidak mengalami kecederaan serius, namun kecederaan di bahu kanan menyebabkan pergerakan beliau agak terbatas.

“Syukur Alhamdulillah daripada scan yang dibuat semalam, tidak ada fractured dan major injury lain. Cuma terdapat banyak kesan skinburns di seluruh badan dan concussion di kepala dan bahu kanan.

“Paling azab adalah di bahu kanan ini di mana terdapat bengkak di Acromioclavicular joint mungkin hasil hentakan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain. Kecederaan ini menyebabkan pergerakan saya amat terbatas dan oleh itu saya terpaksa direhatkan untuk acara Individual Sprint pada hari ini,” katanya dalam laman Facebooknya, hari ini.

Posting berkenaan dimuat naik bagi memaklumkan perkembangan terkini The Pocket Rocketman yang terlibat dalam pelanggaran ketika perlumbaan acara keirin di Velodrom Anna Meares semalam.

Kemalangan tercetus apabila pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata melakukan pancungan sebaik sahaja loceng dibunyi yang mengakibatkan beliau dan pelumba Poland, Krzysztov Maksel terhimpit sebelum terjatuh bersama pelumba lain.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang sentiasa mendoakan diri saya, semoga kecederaan ini akan pulih dengan kadar segera dan saya dapat membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Berlin pada akhir Februari nanti (tahun hadapan),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni muncul Raja Pecut Asia, raih emas di Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia hari ini.

Beliau meraih pingat emas acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan pada 17 hingga 21 Oktober.

Dalam aksi penentuan pingat emas yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon hari ini, pelumba berusia 31 tahun itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang dikawal rapi oleh Wakimoto, melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun di tempat kedua.

Terdahulu, Azizulhasni merekod masa 9.977 saat, iaitu keempat terpantas pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni sebelum itu menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekod masa 10.159s.

Dalam kategori junior pula, pelumba negara, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, terlepas pingat gangsa acara pecut individu apabila tewas 0-2 kepada pelumba India, Rojit Singh Yanglem dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Terdahulu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560s dalam pusingan kelayakan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni rangkul gelaran pecut dan keirin di China

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Skuad berbasikal trek negara menghadiahkan tiga pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa China 2019 yang berlangsung di Velodrom Laoshan, Beijing, semalam.

Lebih manis, kejayaan itu dicapai sempena Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.

Jaguh negara, Mohd Azizulhasni Awang menyumbang dua pingat emas masing-masing dalam acara keirin dan pecut manakala satu lagi emas diperolehi menerusi pelumba meningkat naik, Anis Amira Rosidi menerusi acara keirin wanita.

Azizulhasni atau jolokannya The Pocket Rocketman meraih emas acara pecut menewaskan pelumba Kazakhstan, Andrey Chugay, yang meraih perak manakala pelumba tuan rumah, Zhou Yu, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Dua lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat dan ke-12.

Dalam acara kegemarannya pula, Azizulhasni yang mewakili Team Azizul mengetepikan pelumba Taiwan, Kah Shing Fen yang meraih perak manakala Muhammad Fadhil pula di tempat ketiga.

Anis Amira turut cemerlang apabila mengungguli acara keirin wanita menewaskan pelumba Jepun, Ohta Riyu dan Crismonita Dwi Putri dari Indonesia di tempat ketiga.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

‘Pocket Rocketman’ bawa ‘Bahasa Malaysia’ ke Melbourne

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Menerapkan unsur kemerdekaan dalam diri anak muda bukan satu perkara mudah memandangkan generasi kini sering dipengaruhi budaya barat, terutama bagi mereka yang dibesarkan di luar Malaysia.

Tidak ketinggalan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berusaha memupuk nilai ketimuran dalam diri anak-anaknya yang kini menetap di Melbourne, Australia.

Seiring dengan 62 tahun sambutan kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi, Azizulhasni turut berkongsi cerita pahit manis serta kesukaran memberi didikan dan memupuk semangat sayangkan Malaysia dalam diri dua puterinya.

Walaupun sudah merantau di negara orang hampir 12 tahun atas tuntutan kerjaya, namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu mengakui ia bukan penghalang buat dirinya dan isteri, Athiah Ilyana Abd Samat, untuk memastikan Amna Mariyam, 7 dan Amna Khadeeja, 4 tidak melupakan asal usul mereka yang berasal dari Malaysia.

“Saya di rumah memang akan sentiasa bercakap dalam Bahasa Malaysia dengan mereka sebab kami duduk di Australia sudah lama, anak-anak semua sekolah di sana.

“Jadi, kami suami isteri akan cuba untuk terapkan nilai Malaysia dalam diri mereka supaya tidak lupa asal usul walaupun berada di perantauan.

“Saya juga selalu ajar mereka berhubung geografi dan sejarah Malaysia, buat aktiviti mewarna bendera dan tampal di dinding rumah. Saya tunjuk iklan atau cerita berkisar kemerdekaan untuk beri mereka lebih kefahaman walaupun mereka masih kecil,” katanya kepada Bernama.

Azizulhasni sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang sains sukan di Victoria University di Melbourne dan beliau atlet bukan warganegara Australia pertama menerima Blue Award daripada universiti itu, pada 2015.

Isterinya, Athiah Ilyana pula adalah lulusan Deakin, Geelong University dalam bidang seni bina, seorang suri rumah, menemani Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne sejak 2007.

Menceritakan detik paling bermakna buat dirinya selaku atlet kebangsaan, bekas juara dunia keirin itu berbangga apabila mampu menghadiahkan kejayaan meraih pingat emas acara pecut individu bersempena Hari Kebangsaan yang ke-61 di Sukan Asia, Jakarta-Palembang tahun lalu.

Beliau yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu mengakui sukan menjadi medium terbaik dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau sendiri gemar bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan kaum dan agama, seperti kehidupan yang diamalkan di negara ini sejak sekian lamanya.

“Atlet kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, jadi saya memang suka duduk satu meja dengan mereka semua, namun ada sesetengah atlet duduk mengikut kaum atau sukan tertentu, tapi saya tidak. Saya akan pergi ke meja atlet lain untuk mewujudkan suasana sukan yang lebih harmoni,” katanya.

Atlet berasal dari Dungun, Terengganu itu berharap seluruh rakyat Malaysia mampu mengekalkan konsep hidup aman damai dan bersatu padu seperti yang telah diamalkan sejak bertahun lamanya agar keharmonian sejagat dapat dicapai tanpa perlu ada perbalahan kaum.

“Sebenarnya tiada sebab untuk kita berpecah belah. Kita duduk dalam satu negara, pelbagai kaum dan bangsa jadi kita kena hidup saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Jangan disebabkan ada sesetengah individu yang mencucuh api cakap itu ini (isu perkauman), kita senang sahaja ikut.

“Kita perlu tahu hala tuju hidup dan negara kita kerana Malaysia memang dari dulu hidup tiada masalah. Saya masih ingat datuk saya cerita, dulu satu kampung ada Melayu, Cina dan India semua boleh duduk sekali minum di kedai kopi.

“Malah, saya sendiri pernah dijaga oleh keluarga Cina sewaktu kecil apabila ibu dan opah saya berniaga di kedai makan dulu,” katanya menutup bicara.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

‘The Pocket Rocketman’ raih perak di Dublin

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara sprint di kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019 yang berlangsung di Sundrive Velodrome.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu kalah kepada Jason Kenny dari Great Britain dalam perlawanan akhir, pada Ahad.

Mullen Eoin dari Ireland membawa pulang gangsa selepas mengetepikan pelumba Sepanyol, Jose Moren Sanchez, dalam penentuan pingat gangsa acara sprint lelaki.

“Ia permulaan yang perlahan bagi saya di awal perlumbaan tetapi saya berjaya memberi saingan sehinggalah tamat perlumbaan.

“Memenangi pingat perak dalam acara Sprint Lelaki di samping Juara Olimpik Jason Kenny adalah pelengkap yang baik dalam Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019,” kata Azizulhasni dalam hantaran di Instagramnya.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang meraih gangsa dalam acara keirin semalam, berkesudahan di tempat kelima manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis pula menamatkan saingan di tangga ke-12.

Terdahulu, Azizulhasni berada di tempat keenam dalam pusingan kelayakan selepas beliau mencatatkan masa 10.973 saat.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencatatkan masa kedua terbaik 10.792s manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis di tempat ke-13 dengan masa 11.315s.

-BERNAMA

 

Categories
SUKANKINI

Olimpik 2020: Azizulhasni tumpu kekuatan fizikal

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Jaguh basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang yang dalam misi memburu pingat emas pertamanya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kini menjalani latihan yang memberi tumpuan kekuatan fizikal, peningkatan otot dan kelajuan.

Berat badannya 70 kilogram (kg) sebelum ini, perlu ditingkatkan kepada 75 kg terutama dalam peningkatan otot bagi menambah kekuatan fizikal serta meningkatkan kelajuan.

“Berat badan saya sudah bertambah tiga kilogram, lagi dua kilogram untuk dicapai. Ini lebih kepada meningkatkan jisim otot. Saya perlu meningkatkan jumlah makanan daripada enam kepada tujuh kali sehari,” katanya.

Azizulhasni, yang juga duta jenama CIMB berkata demikian selepas menamatkan kategori Cabaran VIP (40 kilometer) pada edisi ketiga CIMB Cycle 2019, di Dataran Putrajaya pagi ini.

‘Pocket Rocketman’ itu turut menantikan kejohanan Eropah (Jerman, Ireland, England) pada Jun, sebahagian daripada laluannya ke Olimpik Tokyo 2020.

Mengulas penubuhan Team Azizul, katanya, terdapat tiga pelumba tempatan yang berpotensi, sambil menambah terdapat juga minat dari pelumba Australia, namun perkara itu perlu dibincangkan dengan jurulatih.

CIMB Cycle yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disertai 3,700 pelumba amatur dan profesional dari 26 negara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Aziz.

CIMB Cycle tahun ini disusun untuk menyediakan pelumba dengan pengalaman yang lebih mencabar dari segi jarak dan keadaan laluan.

Acara itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Endurance Ride (160km) dan Challenge Ride (80km).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kumpulan gembira melihat peningkatan ketara sebanyak 250 peratus dalam penyertaan sejak CIMB Cycle pertama kali diadakan.

“Penyertaan amat menggalakkan pelumba dari 26 negara mencerminkan kualiti CIMB Cycle, yang kini dinanti-nantikan pelumba amatur dan profesional, turut meletakkan Malaysia di peta sukan serantau,” katanya. -BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Azizulhasni raih emas pada kejohanan Trek Asia ke-39

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya menamatkan kemarau pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-39, selepas meraih pingat emas dalam acara pecut individu, di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, semalam.

Pelumba kelahiran Terengganu itu meraih pingat emas kelima dalam kerjayanya selepas memenangi emas dalam acara berkenaan, pada edisi 2008, 2009, 2014 dan 2017.

Pada pentas final, Azizulhasni, yang diberi jolokan ‘The Pocketrocketman’, menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan cabaran pelumba China, Xu Chao pada perlumbaan ketiga dengan catatan masa 10.154 saat (s), manakala Xu ketinggalan 0.004s.

Untuk rekod, Xu memenangi perlumbaan pertama dengan catatan 10.307s, sebelum Azizulhasni meraih kemenangan, pada perlumbaan kedua dengan catatan 10.270s.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih pingat perak dalam acara keirin sebelum ini, menambah koleksi pungutan pingat apabila menewaskan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe, pada aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah memenangi perlumbaan pertama dan kedua, masing-masing dengan catatan 10.380s dan 10.449s.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

YSD ‘payung’ Azizulhasni RM100,000

SHAH ALAM,18 OGOS: Pencapaian pakar keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang di pentas Olimpik Rio dengan pingat gangsa memberi tuah buatnya apabila Sime Darby Foundation (YSD) memberi ganjaran RM100,000.

Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam berkata usaha keras ‘The Rocket Pocket Man’ itu mendapatkan pingat Olimpik pertama bagi Malaysia dalam acara keirin layak dihargai.

“Anda berusaha memberi terbaik dan berbangga dengan pencapaian anda.

“Seluruh negara bergembira bersama anda. Tidak lupa juga kepada jurulatih John Beasley dan seluruh pasukan kerana kegigihan anda semua, ia membuahkan hasil dan anda membuat Malaysia berasa bangga,” katanya dalam kenyataan.

Azizulhasni ialah ahli program YSD Track Cycling Team ‘Road to London Olympics 2012’ dibiayai YSD dengan tajaan berjumlah RM2 juta bagi tempoh 2009 hingga 2012.

YSD menyambung sumbangannya dengan tajaan berjumlah RM2.85 juta untuk Azizulhasni dan Fatehah Mustapa melalui program ‘Road to Rio’.

13912310_10153846984771705_7574323187162673260_nAzizulhasni, 28 mempunyai prospek memenang emas, bagaimanapun anak jati Terengganu itu sekadar meraih pingat gangsa dalam cubaan kali ketiganya setelah gagal melayakkan diri ke pusingan akhir pada Olimpik Beijing 2008 dan menduduki tempat keenam pada Olimpik London 2012.

Disebalik kemenangan itu, Azizulhasni pada semalam mengingatkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan pihak berkaitan untuk membuka mata dengan kejayaannya itu.

Menerusi laman Facebooknya, Azizulhasni mendakwa Ahmad Razif tidak berkenan membantu beliau dan rakannya dan Fatehah (dua anak jati Terengganu) yang berjuang di peringkat Dunia.

“Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal (cadangan) lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio,” katanya.

Kenyataan AzizulHasni itu bukan sahaja menarik perhatian media dan netizen di laman sosial malah mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

-nR-