Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Zainal hampa Selangor gagal kutip mata

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA TERENGGANU, 4 OGOS: Jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan tanpa berselindung mengakui kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada T-Team, semalam dalam saingan Liga Super.

Katanya, walaupun berhadapan sedikit tekanan, pemainnya sudah berusaha sebaik mungkin untuk kembali bangkit ke prestasi sebenar.

“Malang buat kita selepas tiga perlawanan kerana gagal mengutip mata berturut-turut.

“Tetapi nampak pemain kembali mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, namun kita tidak dapat menyempurnakan peluang mengubah keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas tamat perlawanan semalam.

Sebelum ini, Selangor tewas dengan jaringan 1-0 kepada KL Felda United dalam saingan Liga Super dan Pahang dalam aksi TM Piala Malaysia.

ZAINAL ABIDINMenurut Zainal, ketiadaan Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri sangat dirasakan jentera serangan The Red Giants selain penurunan prestasi Patrick Ronaldinho Wleh yang tidak berjaya mencipta peluang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau memuji aksi dipamerkan Ketua Pasukan, Mohd Razman Roslan dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid di bahagian pertahanan apabila berjaya menghalang gerakan T-Team daripada menambah jaringan.

Sementara itu, bagi Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, kejayaan mengatasi Selangor memberi suntikan motivasi buat anak buahnya untuk keluar daripada kelompok empat pasukan terbawah liga.

“Pemain bangkit untuk keluar daripada kedudukan empat terbawah seperti yang berlaku pada pusingan pertama.

“Motivasi yang sangat baik termasuk daripada pihak pengurusan ditambah dengan aksi dipamerkan malam ini (semalam) membuatkan saya lega,” katanya.

Katanya, disiplin dipamerkan pemain The Titans menjadi kunci kejayaan utama mengatasi Selangor di laman sendiri.

Dengan keputusan semalam, Selangor kekal di tangga ketiga dengan 26 mata sementara T-Team melonjak ke tangga keenam dengan 19 mata.

Kedudukan Selangor dilihat tidak selamat memandangkan Kedah dan Perak mula mengekori rapat dengan perbezaan enam mata.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.