Categories
SELANGOR

Ban rosak selesai dibaiki JPS ekoran air pasang besar

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 21 SEPT: Ban rosak dan putus di dua tempat di Sungai Air Tawar akibat fenomena air pasang besar selesai dibaiki Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata tindakan segera itu memungkinkan 15 keluarga dari Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Air Tawar dibenarkan pulang dari pusat pemindahan banjir.

“Kerajaan Negeri mengambil langkah segera bagi menghalang kemasukan air laut di kawasan terlibat.

“Kerosakan ban di Kampung Sungai Lang dan Kampung Sungai Apong juga dalam proses pembaikian segera,” katanya kepada SelangorKini.

whatsapp-image-2016-09-21-at-09-53-54Semalam, beliau melakukan tinjauan di beberapa ban pecah di sekitar Sabak Bernam.

Bermula 18 September lalu, beberapa kawasan pantai di Selangor mula mengalami fenomena air pasang besar luar biasa, sepertimana pernah berlaku pada 2006.

Zaidy berkata, hal ini berlanjutan pada tahun ini khususnya pada minggu ketiga setiap bulan dan paras air dijangka mencecah sehingga 5.7 meter.

“Penduduk di penempatan berhampiran diminta berjaga-jaga kemungkinan berlakunya banjir.

“Penduduk juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke masa,” katanya.

EZY