Categories
SELANGOR

Denmark sedia bantu Selangor jayakan projek bandar mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 SEPT: Perkongsian idea dan inspirasi antara Denmark dan Selangor serta pihak berkaitan boleh dijalin bagi menjayakan pelan tindakan teknologi hijau dan bandar mampan.

Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge, berkata pihaknya bersedia dalam usaha itu seperti mana dizahirkan dengan penganjuran Seminar Copenhagen Solutions For Sustainable Cities melalui kerjasama Kerajaan Negeri di sini, 7 September lalu.

“Objektif kita dalam menganjurkan seminar ini adalah mengenai pembelajaran, perkongsian dan inspirasi.

“Maka dengan ini, marilah kita terus berkongsi pengetahuan dan idea mengenai bagaimana untuk mewujudkan bandar mampan dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, lebih separuh daripada penduduk dunia tinggal di kawasan bandar dan warga Copenhagen juga semakin meningkat serta menghadapi cabaran seperti pelepasan karbon, kesesakan lalu lintas dan pengumpulan sisa.

Katanya, di Copenhagen, pihak berkuasa tempatan (PBT) berhadapan cabaran itu dengan inisiatif menangani pencemaran udara, meningkat kesedaran untuk kesihatan lebih baik dan kitar semula dioptimumkan dalam merealisasikan wawasan: Bandar Sifar Sisa Pepejal.

“Mengurangkan pelepasan karbon adalah hanya sebahagian kecil daripada usaha ke arah bandar mampan.

“Fokus seminar ini adalah untuk berkongsi pengalaman di Copenhagen dengan harapan ia memberi inspirasi kepada anda menjalankan projek baru ke arah bandar raya lestari pada masa hadapan,” katanya.

EZY