Categories
SELANGOR

MBSA sedia 7 pusat kitar semula

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 SEPT: Terdapat tujuh Pusat Kitar Semula disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk kemudahan orang ramai menghantar barangan boleh dikitar semula.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, lima daripadanya turut menerima minyak masak terpakai.

Katanya, ia termasuk Pusat Kitar Semula Seksyen 6, Pusat Kitar Semula Seksyen 11, Pusat Kitar Semula Seksyen 17, Pusat Kitar Semula Seksyen 25 dan Pusat Kitar Semula Seksyen U8.

MBSA03“Orang ramai ingin melupuskan barang kitar semula seperti kertas botol tin aluminum juga boleh berkunjung ke pusat kitar semula ini.

“Diharapkan inisiatif ini dapat mendidik masyarakat supaya menjadikan amalan kitar semula sebagai gaya hidup di samping menjayakan misi Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030,” katanya kepada Selangor Kini.

MBSA juga menyediakan perkhidmatan menghantar dan mengambil tong bagi pengumpulan minyak masak untuk restoran, kantin, kilang makanan dan hotel.

Shahrin berkata, kapasiti tong adalah berbeza iaitu 60 liter, 200 liter dan 1,000 liter.

Untuk sebarang permohonan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Bahagian Pembersihan Awam dan Alam Sekitar di talian 03-55105133 sambungan 1238 atau 1570.

-nR-