Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh badan khas bantu mangsa penipuan atas talian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan ‘Financial Scams Asset Recovery Centre’ bagi membantu mangsa penipuan khususnya membabitkan e-dagang mendapatkan kembali hak mereka.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, keperluan itu dilihat mendesak ekoran kebanyakannya mangsa kes terbabit tidak dapat pembelaan sewajarnya.

“Pusat ini sangat penting untuk mangsa mendapatkan pembelaan dan hak mereka. Kebanyakannya mangsa datang kepada saya merupakan peniaga yang mahu membantu keluarga keluar dari kemiskinan tetapi terjerat dalam kes penipuan.

“Saya mencadangkan pusat ini ditubuhkan dan dianggotai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta polis,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

CHARLESCharles turut mahu Mahkamah Siber yang baru ditubuhkan bulan ini, mempunyai cawangan di setiap negeri bagi membantu mangsa penipuan atas talian.

Pada masa yang sama, Charles menggesa pihak polis mengambil tindakan segera berikutan banyak laporan polis sudah dilakukan di seluruh negara.

“Kerajaan perlu mengambil isu ini sebagai serius. Dasar kerajaan menggalakkan e-dagang, namun jika tidak diberi garis panduan, penguatkuasa dan badan yang boleh membantu mereka, usaha memperkenalkan e-dagang hanya sia-sia,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Sue, 27, mengalami kerugian lebih RM60,000 ekoran pembelian lampin pakai buang.

Katanya, beliau mempercayai pembekal dan orang tengah kerana mereka menyediakan dokumen perniagaan sah.

“Saya menempah belian barangan sebelum ini tiga kali dan barang yang ditempah sampai ke rumah saya seperti yang dijanjikan. Namun, untuk tempahan kali keempat itu, tidak sampai.

“Mei lalu tempahan dibuat dan sehingga kini tiada sebarang traksaksi pemulangan wang dilakukan selepas barang gagal diterima,” katanya.

Beliau mendakwa pembekal utama melantik empat orang tengah untuk mencari pelanggan dan tempahan yang gagal dihantar membabitkan RM2.2 juta.

“Saya juga difahamkan pembekal utama itu merupakan seorang ‘scammer’ yang aktif menipu sejak 2005 dalam pelbagai jenis perniagaan antaranya emas, tiket pelancongan dan alat ganti motorsikal.

“Lebih teruk, orang tengah yang dilantik sebelum ini mengaku mengenali pembekal utama itu menghilangkan diri,” katanya.

-nR-