Categories
SELANGOR

Persempadanan semula: Hannah yakin Pakatan kekalkan kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 18 SEPT: Cadangan persempadanan semula beberapa kawasan di Selangor akan menyaksikan pertambahan penduduk yang drastik di DUN Subang Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh melihat DUN Kinrara dikecilkan dan pengundi dipindahkan ke DUN Subang Jaya.

“Cadangan ini akan menyaksikan kawasan USJ lain dimasukkan ke dalam Subang Jaya.

“Seperti yang kita tahu, Subang Jaya mempunyai kepadatan penduduk tinggi berbanding DUN lain.

“Ia akan memberikan pelbagai masalah sekiranya penduduk terlalu padat,” katanya kepada SelangorKini.

Menyifatkan ia sebagai taktik kotor, Hannah juga yakin cadangan itu juga bertujuan menyukarkan Pakatan membentuk kerajaan.

“Bagaimanapun, saya yakin kita akan mengekalkan kerusi di DUN ini.

“Cuma, kita akan berhadapan dengan masalah selepas itu nanti antaranya peruntukkan sedia ada akan terjejas. Jadi, ia memang mencabar,” katanya.

Pada masa sama, beliau sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor menunggu perkara itu dibincangkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu sebelum dibincangkan dalam Sidang Dewan Negeri.

“Kita tunggu MMKN bincangkan terlebih dulu,” katanya.

Baru-baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan sebanyak lima kawasan parlimen dan enam DUN di Selangor terbabit dalam proses persempadanan semula.

Lima kawasan Parlimen itu akan membabitkan Bangi (Serdang), Subang (Kelana Jaya), Petaling Jaya (Petaling Jaya Selatan), Damansara (Petaling Jaya Utara) dan Sungai Buloh (Subang).

Manakala untuk kerusi DUN kawasan terlibat adalah N.16 Sungai Tua yang nama asalnya (Batu Caves), N.21 Pandan Indah (Chempaka), N.26 Sungai Ramal (Bangi), N.36 Bandar Utama (Damansara Utama), N.45 Bandar Baru Klang (Sungai Pinang) dan N52 Banting (Teluk Datuk).

Kerusi Parlimen Subang dari KEADILAN, di bawah penyandangnya R. Sivarasah akan mengalami pengurangan pengundi seramai 73,448 orang yang dipindahkan ke kawasan Sungai Buloh.

-nR-