Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor kahwin: Mb ucap tahniah, negeri dan rakyat tumpang gembira

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 2 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan sembah ucapan tahniah terhadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas pernikahan baginda.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat tumpang gembira dengan perkembangan terbaru daripada istana itu.

“Saya bersama pimpinan negeri, anggota perkhidmatan awam dan seluruh rakyat jelata berasa amat gembira dengan berita diterima awal pagi tadi.

“Kami mendoakan semoga Tuanku berbahagia bersama keluarga dan terus sihat untuk memerintah negeri ini,” katanya dalam sidang media di perkarangan Masjid Bagan Terap, di sini.

Terdahulu, beliau yang mengemudi lawatan turun padang di daerah ini menunaikan Solat Jumaat dan menyertai Jamuan Rakyat di masjid berkenaan.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Exco Negeri, Zaidy Abdul Talib.

Pada 31 Ogos lalu, baginda Sultan selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norashikin Abdul Rahman yang juga personaliti televisyen di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Norashikin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

Beliau pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005 (ASA2005).

-nR-