Categories
SUKANKINI

SuperSports 600cc: Cabaran getir buat Zaqhwan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi menjangkakan cabaran besar bakal ditempuh dalam perlumbaan SuperSports 600cc pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi, India, minggu ini.

Pertama kali beraksi di litar itu, Zaqhwan juga percaya kehadiran mantan juara Azlan Shah Kamaruzaman dan Yuki Takahashi dalam perlumbaan kali ini juga menjanjikan saingan sengit buatnya berikutan mereka akan berusaha keras setelah kehilangan mata selepas tidak beraksi pada pusingan lalu di Indonesia akibat kecederaan.

“Saya perlu mengatasi mereka untuk kekal menjadi pendahulu keseluruhan terutama berada di depan Tomoyoshi Koyama tambahan kali pertama kami beraksi di litar Buddh ini.

supersports03“Litar ini agak luas dan panjang, jadi pasti kelajuan jentera banyak memainkan peranan malah saya jangkakan sekurang-kurangnya 10 pelumba akan bersaing di kelompok utama,” katanya.

Zaqhwan dari pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing kini berkongsi kedudukan pendahulu bersama Koyama (T Pro Yuzy Honda NTS with Wow) dengan 131 mata dalam kategori berkenaan.

Beliau berkata, tugasnya menjadi lebih mencabar memandangkan keadaan fizikalnya juga masih belum 100 peratus cergas setelah menjalani pembedahan di bahu bulan lepas dan kebimbangan untuk mengendalikan jentera Honda CBR600RR di litar Buddh itu.

“Bahu saya dalam keadaan baik sewaktu perlumbaan Cub Prix minggu lalu namun perlumbaan 600cc adalah berbeza dengan ia lebih panjang serta jentera juga lebih berat dan laju.

“Sebagai persediaan, saya telah melakukan latihan fizikal dan persediaan secukupnya untuk kembali cergas seperti dahulu dan mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik pada minggu ini,” katanya.

-nR-