Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

22,369 pengundi dari 7 kawasan DUN Sementa dikeluarkan

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 6 OKT: Syor cadangan kajian persempadanan semula di DUN N.43 Sementa menyaksikan seramai 22,369 pengundi dikeluarkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, jumlah pengundi dikeluarkan itu dimasukkan ke DUN N 42 (Meru), DUN N 45 Selat Klang dan DUN N 44 Sungai Pinang (kini DUN Bandar Baru Klang).

Katanya, tujuh daripada lapan kawasan turut dikeluarkan daripada DUN Sementa.

Beliau berkata ia membabitkan Pekan Kapar, Batu 9 Kapar, Taman Klang Utama 1, Taman Kapar Indah, Batu 10 Kapar, Sungai Kapar Indah dan Taman Klang Utama 2.

YB Daroyah“Kawasan ini merupakan daerah mengundi yang majoriti KEADILAN menang selesa pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

“Ia juga merupakan kawasan majoriti kaum Cina dan India.

“Manakala, daerah mengundi dikekalkan adalah kawasan yang mengalami kalah atau menang tipis iaitu kawasan majoriti Melayu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini.

Syor kajian itu turut menyaksikan daerah mengundi di DUN N 42 Meru yang kalah ke Sementa seramai 7,489 pengundi iaitu Bukit Kapar Utara, Bukit Kapar Selatan dan Kapar.

Manakala, seramai 10,632 pengundi daripada Kampung Sungai Pinang, Rantau Panjang, Kampung Batu Tiga dan Teluk Kapas yang majoritinya kaum melayu di masukkan ke DUN Sementa.

Dr Daroyah mendakwa syor itu akan mengalahkan KEADILAN dan memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

“Kami membantah kerana perkara ini tidak adil dan amat dikesali. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada semua calon pilihanraya.

“Selepas syor ini, kita melihat Sementa tidak mempunyai Pekan yang merupakan tempat aktiviti penduduk setempat seperti aktiviti ekonomi, pendidikan, klinik kesihatan, pasar dan rumah ibadat,” katanya.

dun-sementa-bantahBeliau berkata, komposisi kaum Melayu meningkat 75 peratus, manakala kaum Cina menurun sebanyak 13 peratus dan kaum India menurun 16 peratus selepas syor cadangan itu.

“Ini memperlihatkan semangat keharmonian berbilang kaum diketepikan SPR.

“Perpecahan kaum akan lebih ketara sekiranya syor cadangan ini pihak SPR diluluskan,” katanya.

Katanya, cadangan tersebut tidak teratur dan bercanggah dengan prinsip ditetapkan.

“Ia lebih memihak kepada BN pada PRU akan datang dan bercanggah dengan prinsip di bawah Seksyen 2 Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-nR-