Categories
SELANGOR

Air pasang besar: Unit Bencana Daerah Klang lakukan persiapan rapi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 SEPT: Unit Bencana Daerah Klang bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar di kawasan berpotensi dinaiki air khususnya di dua kampung utama, Kampung Tok Muda dan Kampung Sungai Serdang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau dan pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi tempoh tiga hari ini dan akan bertindak segera jika paras air laut naik tinggi.

“Kita mempunyai wakil di setiap tempat untuk memaklumkan kita berlakunya air pasang besar. Semalam ada kebocoran benteng di Kampung Tok Muda.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan kerja-kerja baik pulih benteng tersebut dan saya sendiri sudah melihatnya. Buat masa ini keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan hujan turun di kawasan darat di Kapar mengurangkan risiko banjir tetapi pihaknya tetap memberikan perhatian serius terhadap kemudahan jika terpaksa memindahkan penduduk setempat.

Ini termasuk kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan RELA.

Untuk rekod, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Categories
SELANGOR

Tabung Harapan: Persatuan Kebajikan Pan Keong sumbang lebih RM15,000

KLANG, 22 Julai 2018: Sejumlah RM15,446 berjaya dikumpulkan dalam sebuah majlis makan malam anjuran Persatuan Kebajikan Pan Keong, pada 21 Ogos lalu.

Sumbangan dikumpul untuk disalurkan ke Tabung Harapan Negara bagi membantu kerajaan menguruskan hutang negara yang telah ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Cek sumbangan diserahkan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi di hadapan kira-kira 1,500 hadirin pada majlis yang diadakan cukup meriah di Restoran Taman Rashna, Klang.

“Satu usaha yang baik dan setinggi penghargaan kepada penderma yang prihatin membantu negara tercinta.

“Semangat ini wajar diteladani kerana rakyat adalah tulang belakang kepada keutuhan dan kesejahteraan sebuah negara yang berjaya,” kata Daroyah.

Terdahulu, kutipan dibuat terus dari meja ke meja sebelum dikumpulkan, dikira dan diumumkan secara terbuka kepada semua yang hadir.

Categories
SELANGOR

Teladani anak muda Kapar martabat juadah warisan Melayu

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 9 JUN: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) meneruskan tradisi kacau dodol dalam Pertandingan Kacau Dodol Pemuda PAKATAN peringkat Parlimen Kapar.

Julung kali dianjurkan, proses pembuatan makanan tradisional Melayu itu berlangsung selama lima jam di Kompleks Rakan Muda Kapar, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, usaha anak muda itu wajar dipuji dan diteladani dalam mengangkat semula juadah warisan nenek moyang.

“Amat jarang sekali kita lihat golongan muda berminat untuk melibatkan diri dalam program sebegini namun hari ini saya memuji semangat mereka.

“Kita sedia maklum cara pembuatan dan resepi untuk menyediakan dodol bukanlah semudah disangka, namun ia bukan halangan dipelajari supaya ia tidak ditelan zaman,” katanya.

Terdahulu, Pertandingan Kacau Dodol itu dirasmikan oleh Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani.

Pertandingan bermula jam 10 malam itu berakhir pada 3 pagi dengan disertai 100 peserta membabitkan 20 pasukan terdiri dari penduduk kampung di sekitar Parlimen Kapar.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 beserta hamper dan tempat kedua RM300 beserta hamper.

Sementara, bagi tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM150 beserta hamper manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima hamper sebagai saguhati.

Selesai sahaja program, dodol berkenaan serta juadah lemang turut diagihkan kepada kariah setempat untuk juadah bersahur.

Categories
SELANGOR

Rakyat bangkit menangkan PAKATAN di Kapar dan 3 DUN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MEI: Kebangkitan rakyat mengatasi segala halangan ekoran persempadanan semula bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengekalkan kerusi itu untuk kali kedua berturut-turut.

Dr Daroyah menang bergaya dengan majoriti 5,370 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Anak jati Bukit Kapar itu memperoleh 17,867 undi sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Saroni Judi yang memperoleh 12,497 undi.

Manakala, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) menang ke atas pencabar terdekatnya dari PAS, Dr Halimah Ali di kerusi DUN Selat Klang dengan majoriti 500 undi.

Beliau memperoleh 12,266 undi berbanding Halimah 11,766 undi, Dr Mohd Khairi Hussin (BN) 9,949 undi, W Jeichandran (PRM) 52 dan
Zainal Azwar Kamaruddin (Bebas) 49 undi.

Parlimen Kapar pula menyaksikan calon PAKATAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berjaya menewaskan pencabar terdekatnya dari PAS, Dr Abd Rani Osman dengan majoriti 16,306 undi.

Bagi kerusi DUN Meru ia turut dimenangi calon dari PAKATAN, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menang majoriti 9,608 undi selepas menewaskan calon BN, Khairul Anuar Saimon yang memperoleh 8,057.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Kapar mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Zainal Mohd Noor jam 3.07 pagi semalam di pusat pengiraan undi Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

Keputusan rasmi :

Parlimen Kapar

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, (Pakatan Harapan) – 47,731
Datuk M Mohana (BN) – 26,412
Dr Abd Rani Osman (Pas) – 31,425
S Manikavasagam (PRM) – 525
majoriti = 16,306
undi rosak = 1,497

Dun Meru

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Pakatan Harapan) – 17,665
Khairul Anuar Saimon (BN) – 8,057
Noor Najhan Mohd Salleh (Pas) – 7,804
S Manikavasagam (PRM) – 346
Alex Shee Chee Weng (Bebas) – 72
Majoriti = 9,608
Undi rosak = 430

Dun Sementa

Dr Daroyah Alwi (Pakatan Harapan) – 17,867
Datuk Saroni Judi (BN) – 12,497
Wan Hasrina Wan Hassan (Pas) – 7,696
N Gandhi (PRM) – 120
Majoriti = 5,370
undi rosak = 536

Dun Selat Klang

Datuk Abdul Rashid Asari (Pakatan Harapan) – 12,266
Dr Mohd Khairi Hussin (BN) – 9,949
Dr Halimah Ali (Pas) – 11,766
W Jeichandran (PRM) – 52
Zainal Azwar Kamaruddin (Bebas) – 49
majoriti = 500
undi rosak = 412

Categories
SELANGOR

Ibu tunggal disantuni, ADN Sementa serah KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM,11 APR : Kematian suami tiga hari lalu akibat masalah pernafasan dan perlu membesarkan lima anak ternyata satu ujian besar buat Norliza Adnan, 48 dari Kampung Sementa.

Prihatin dengan nasib menimpa ibu tunggal itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi tampil membantu dengan menyerahkan kad Kasih Ibu Smart Selangor, di kediamannya di Lapis 5, semalam.

Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Categories
SELANGOR

DUN Sementa komited didik komuniti basmi denggi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 OGOS: Bagi mengelak penularan demam denggi, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran Taman Sri Sementa, pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa , Dr Daroyah Alwi berkata, peningkatan kes denggi sejak kebelakangan ini perlu diambil perhatian serius oleh orang ramai.

“Aktivit gotong- royong itu dianjurkan bagi mengelakkan taman itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan bakal merisikokan penduduk setempat.

SEMENTA DENGGI“Kita juga memberi penerangan kepada penduduk bahawa pembersihan bukan sahaja harus dibuat diluar rumah malah ia harus dilakukan didalam rumah itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Program berlangsung seawal 8.00 pagi itu dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Sri Sementa.

Terdahulu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangai penularan denggi antaranya meningkatkan peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik bagi 2017 kepada RM 5 juta berbanding RM 1.5 juta tahun sebelumnya.

Peruntukan itu digunakan untuk menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan Pest Controller Operator (PCO) di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Categories
SELANGOR

Peniaga gerai Kampung Tok Muda mangsa taktik lapuk

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi kesal isu perobohan gerai di Kampung Tok Muda dijadikan mainan politik pihak yang ‘kemaruk’.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga berkata, Pejabat Daerah Dan Tanah (PTD) Klang sudah mengeluarkan notis pemakluman operasi perobohan sebanyak tiga kali, sejak Oktober 2016.

Katanya, empat papan tanda pemakluman kerja pembersihan sistem saliran oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Klang juga sudah dinaikkan, namun kesemuanya hilang tanpa kesan.

“Bagaikan menangguk di air keruh, tidak semena-mena muncul beberapa watak hero mengaku mempertahankan hak peniaga yang kononya ditindas.

YB Daroyah“Sebelum insiden ini berlaku, peniaga dijanjikan dan diberi jaminan oleh ‘hero’ berkenaan bahawa melalui jawatankuasanya, operasi perobohan tidak akan berlaku.

“Bila ia dirobohkan, penabur janji manis ini bukan sahaja tidak mengambil tanggungjawab, malah menuding jari pula menyalahkan saya,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, bagaimanapun taktik lapuk berkenaan tidak sesekali mematahkan tekad Kerajaan Negeri membela nasib rakyat termasuklah peniaga gerai di Kampung Tok Muda.

Katanya, pertemuan bersama PTD Klang, JPS Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dibuat bagi memperkemaskan perancangan sedia ada.

“Kita percaya banyak lagi siri dusta yang disusun untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak mudah percaya dengan fitnah jahat dan taktik kotor sebegini,” katanya.

Terdahulu, media pro Umno-BN melaporkan seramai 15 peniaga di Kampung Tok Muda kecewa kerja perobohan gerai mereka dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas notis diterima.

Kerja perobohan juga dilapor didalangi pihak tertentu dalam Kerajaan Negeri yang berkait rapat dengan sentimen politik kepartian.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

22,369 pengundi dari 7 kawasan DUN Sementa dikeluarkan

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 6 OKT: Syor cadangan kajian persempadanan semula di DUN N.43 Sementa menyaksikan seramai 22,369 pengundi dikeluarkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, jumlah pengundi dikeluarkan itu dimasukkan ke DUN N 42 (Meru), DUN N 45 Selat Klang dan DUN N 44 Sungai Pinang (kini DUN Bandar Baru Klang).

Katanya, tujuh daripada lapan kawasan turut dikeluarkan daripada DUN Sementa.

Beliau berkata ia membabitkan Pekan Kapar, Batu 9 Kapar, Taman Klang Utama 1, Taman Kapar Indah, Batu 10 Kapar, Sungai Kapar Indah dan Taman Klang Utama 2.

YB Daroyah“Kawasan ini merupakan daerah mengundi yang majoriti KEADILAN menang selesa pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

“Ia juga merupakan kawasan majoriti kaum Cina dan India.

“Manakala, daerah mengundi dikekalkan adalah kawasan yang mengalami kalah atau menang tipis iaitu kawasan majoriti Melayu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini.

Syor kajian itu turut menyaksikan daerah mengundi di DUN N 42 Meru yang kalah ke Sementa seramai 7,489 pengundi iaitu Bukit Kapar Utara, Bukit Kapar Selatan dan Kapar.

Manakala, seramai 10,632 pengundi daripada Kampung Sungai Pinang, Rantau Panjang, Kampung Batu Tiga dan Teluk Kapas yang majoritinya kaum melayu di masukkan ke DUN Sementa.

Dr Daroyah mendakwa syor itu akan mengalahkan KEADILAN dan memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14.

“Kami membantah kerana perkara ini tidak adil dan amat dikesali. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bersikap berkecuali dan berlaku adil kepada semua calon pilihanraya.

“Selepas syor ini, kita melihat Sementa tidak mempunyai Pekan yang merupakan tempat aktiviti penduduk setempat seperti aktiviti ekonomi, pendidikan, klinik kesihatan, pasar dan rumah ibadat,” katanya.

dun-sementa-bantahBeliau berkata, komposisi kaum Melayu meningkat 75 peratus, manakala kaum Cina menurun sebanyak 13 peratus dan kaum India menurun 16 peratus selepas syor cadangan itu.

“Ini memperlihatkan semangat keharmonian berbilang kaum diketepikan SPR.

“Perpecahan kaum akan lebih ketara sekiranya syor cadangan ini pihak SPR diluluskan,” katanya.

Katanya, cadangan tersebut tidak teratur dan bercanggah dengan prinsip ditetapkan.

“Ia lebih memihak kepada BN pada PRU akan datang dan bercanggah dengan prinsip di bawah Seksyen 2 Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-nR-