Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Atasi T-Team 3-0, Red Giants ke akhir Piala Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 15 OKT: Selangor mengatasi T-Team 3 – 0 dalam separuh akhir kedua dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 5 – 1.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini, juara bertahan itu membuktikan penguasaan dengan mendahului lawan seawal minit kedua.

Gol dihasilkan R Gopinathan melalui penyudah tepat melepasi penjaga gol The Titans, Ilham Amirullah, selepas mendapat hantaran ketua pasukan, Andik Vermanshah.

Percaturan jurulatih The Red Giants, K Gunalan, nyata berjaya dengan pemain mengekang asakan berterusan T-Team dalam usaha mencari gol.

THE RED GIANTSTambah manis bagi Selangor apabila Ugo Ukah (m18) menyepak masuk untuk gol kedua pasukan selepas Patrick Ronaldinho Wleh gagal menyudahkannya.

Andik (m90) melengkapkan malam gemilang Selangor dengan gol ketiga apabila bola dihantar Ronaldinho di depan gol.

T-Team menggandakan serangan selepas ketinggalan dua gol dengan beberapa percubaan bahaya daripada Patrick Dos Santos Cruz, Makan Konate, Sapawi Rasid dan yang lain.

Lima minit separuh masa kedua, pasukan bimbingan Rachmat Darmawan telah memberikan tekanan dengan percubaan sipi Asrol Ibrahim melewati pintu gol.

Selangor bagaimanapun terus mempertahankan kedudukan dengan bertahan dan melancarkan serangan balas bagi menggugat pertahanan lawan.

Red GiantsSerangan berterusan pasukan tuan rumah menyaksikan beberapa insiden kekasaran di kalangan pemain menyebabkan pengadil, Zamzaidi Katimin, agak sibuk mengawal permainan.

Skuad Merah Kuning terus menggembirakan segelintir penyokongnya di stadium dengan gol Andik untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 3 – 0.

Selangor mengulangi pertemuan akhir dengan naib juara, Kedah, yang seri 0 – 0 dengan PDRM yang layak melalui agregat 2 – 1.

-nR-