Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lapan pusat pemindahan dibuka, penduduk disaran pindah awal

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 13 OKT: Lapan pusat pemindahan siap dibuka 15 Oktober ini kepada penduduk yang bakal menghadapi fenomena air pasang yang dijangka melanda hujung minggu ini.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, penduduk sudah dimaklumkan untuk berpindah awal sebelum berlaku fenomena itu.

“Kita sudah siapkan lapan pusat pemindahan dan penduduk boleh pindah kira-kira jam 2 petang, pada 15 Oktober ini.

whatsapp-image-2016-10-13-at-4-20-44-pm“Sepanjang perpindahan tersebut turut dibantu agensi berkaitan seperti bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pasukan rela untuk membantu memastikan keselamatan mereka,” katanya selepas lawatan di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, hari ini.

Katanya, satu pusat permindahan boleh memuat seramai 150 ke 200 orang.

“Antara pusat pemindahan yang dibuka adalah Dewan Serbaguna Sungai Serdang, Dewan Serbaguna Tok Muda, Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kampung Kuantan, Dewan Serbaguna MPK Teluk Gadong, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, Dewan Serbaguna MPK Kampung Idaman dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

“Sekiranya berlaku limpahan, kita menyediakan pusat pemindahan tambahan di Sekolah Rendah Agama Pulau Indah jika ada keperluan,” katanya.

Sementara itu, ADN Sementa, Dr Daroyah Awli berkata, beliau berharap dengan tindakan pencegahan yang dilaksanakan dapat mengurangkan impak kepada rumah yang berpotensi mengalami air pasang.

“Saya mewakili Kampung Tok Muda dan rakyat di Dun Sementa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Exco Infrastruktur, Jabatan Pengairan Selangor (JPS) Agensi Pengurusan Bencana Negara dan semua yang terlibat bekerjasama untuk meminima impak bencana air pasang daripada terus melimpah ke kawasan kampung.

“Ia memang amat terkesan kepada pendduk kampung seperti yang berlaku pada pertengahan pada bulan lepas apabila kebanyakan rumah yang terlibat hampir semua mengalami kerosakan harta benda yang teruk.

“Jadi, kita berharap dengan siapnya benteng dan beg pasir ini akan membantu mengurangkan impak terhadap rumah berhampiran,” katanya.

-NFN-