Categories
SELANGOR

Gelombang air pasang: Penduduk dinasihat terus berjaga-jaga

OLEH AFIX REDZUAN

KAPAR, 19 OKT: Suasana air pasang di Kampung Tok Muda dan Batu 5, di sini kembali reda walaupun masih berlaku limpahan air disebabkan ban pecah akibat arus deras.

Berdasarkan tinjauan Selangor Kini bersama pasukan keselamatan di Ban Batu 5 sejak jam 5.00 pagi hingga 9.00 pagi tadi mendapati arus deras air pasang mula bergerak disamping kerja mengorek tanah untuk mengukuhkan benteng diteruskan.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Zaidi Ahtan berkata, sejak 16 Oktober sehingga hari ini, keadaan masih terkawal dan pemantauan akan diteruskan sehingga Jumaat.

“Setakat ini semua agensi memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengikut pembahagian tugas seperti ditetapkan.

cp2a0648“Pada mulanya penduduk tidak sangka mereka terpaksa berpindah memandangkan ini kejadian pertama.

“Apabila sudah masuk gelombang kedua, mereka mula berpindah dan kita juga belajar daripada fenomena pertama untuk memperbaiki cara kita bekerja,” katanya.

Menurut beliau, lebih 80 keluarga terlibat sejak gelombang pertama berlaku pada 16 Oktober lalu.

Difahamkan paras air tertinggi dicatatkan berukuran 5.7 meter dan ia semakin surut.

Zaidi berkata, masalah utama yang perlu ditangani adalah ban pecah di Batu 5 dan beliau menasihatkan penduduk berhampiran supaya menyelamatkan barang berharga bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Beliau menambah, semua agensi penyelamat sudah bersiap sedia menghadapi gelombang seterusnya terutama dalam aspek keselamatan penduduk.

-nR-