Categories
SELANGOR

Peniaga gerai Kampung Tok Muda mangsa taktik lapuk

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi kesal isu perobohan gerai di Kampung Tok Muda dijadikan mainan politik pihak yang ‘kemaruk’.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga berkata, Pejabat Daerah Dan Tanah (PTD) Klang sudah mengeluarkan notis pemakluman operasi perobohan sebanyak tiga kali, sejak Oktober 2016.

Katanya, empat papan tanda pemakluman kerja pembersihan sistem saliran oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Klang juga sudah dinaikkan, namun kesemuanya hilang tanpa kesan.

“Bagaikan menangguk di air keruh, tidak semena-mena muncul beberapa watak hero mengaku mempertahankan hak peniaga yang kononya ditindas.

YB Daroyah“Sebelum insiden ini berlaku, peniaga dijanjikan dan diberi jaminan oleh ‘hero’ berkenaan bahawa melalui jawatankuasanya, operasi perobohan tidak akan berlaku.

“Bila ia dirobohkan, penabur janji manis ini bukan sahaja tidak mengambil tanggungjawab, malah menuding jari pula menyalahkan saya,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, bagaimanapun taktik lapuk berkenaan tidak sesekali mematahkan tekad Kerajaan Negeri membela nasib rakyat termasuklah peniaga gerai di Kampung Tok Muda.

Katanya, pertemuan bersama PTD Klang, JPS Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dibuat bagi memperkemaskan perancangan sedia ada.

“Kita percaya banyak lagi siri dusta yang disusun untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak mudah percaya dengan fitnah jahat dan taktik kotor sebegini,” katanya.

Terdahulu, media pro Umno-BN melaporkan seramai 15 peniaga di Kampung Tok Muda kecewa kerja perobohan gerai mereka dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas notis diterima.

Kerja perobohan juga dilapor didalangi pihak tertentu dalam Kerajaan Negeri yang berkait rapat dengan sentimen politik kepartian.

Categories
SELANGOR

Gelombang air pasang: Penduduk dinasihat terus berjaga-jaga

OLEH AFIX REDZUAN

KAPAR, 19 OKT: Suasana air pasang di Kampung Tok Muda dan Batu 5, di sini kembali reda walaupun masih berlaku limpahan air disebabkan ban pecah akibat arus deras.

Berdasarkan tinjauan Selangor Kini bersama pasukan keselamatan di Ban Batu 5 sejak jam 5.00 pagi hingga 9.00 pagi tadi mendapati arus deras air pasang mula bergerak disamping kerja mengorek tanah untuk mengukuhkan benteng diteruskan.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB), Zaidi Ahtan berkata, sejak 16 Oktober sehingga hari ini, keadaan masih terkawal dan pemantauan akan diteruskan sehingga Jumaat.

“Setakat ini semua agensi memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengikut pembahagian tugas seperti ditetapkan.

cp2a0648“Pada mulanya penduduk tidak sangka mereka terpaksa berpindah memandangkan ini kejadian pertama.

“Apabila sudah masuk gelombang kedua, mereka mula berpindah dan kita juga belajar daripada fenomena pertama untuk memperbaiki cara kita bekerja,” katanya.

Menurut beliau, lebih 80 keluarga terlibat sejak gelombang pertama berlaku pada 16 Oktober lalu.

Difahamkan paras air tertinggi dicatatkan berukuran 5.7 meter dan ia semakin surut.

Zaidi berkata, masalah utama yang perlu ditangani adalah ban pecah di Batu 5 dan beliau menasihatkan penduduk berhampiran supaya menyelamatkan barang berharga bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Beliau menambah, semua agensi penyelamat sudah bersiap sedia menghadapi gelombang seterusnya terutama dalam aspek keselamatan penduduk.

-nR-