Categories
NASIONAL

KEADILAN gesa Putrajaya tingkat usaha bebas tawanan WBG

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT : Putrajaya digesa mengambil pendirian tegas dengan meningkatkan usaha pembebasan tawanan kumpulan aktivis, Zaytouna-Oliva ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG) yang ditahan berhampiran pantai Gaza.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pembebasan ke atas 13 aktivis tersebut perlu dibuat segera, tanpa syarat.

“Kami menggesa Israel membebaskan aktivis wanita yang menaiki Zaytouna-Oliva dengan segera tanpa syarat dan menghentikan sekatan ke atas bumi Gaza.

“Kami turut menggesa Wisma Putra meningkatkan usaha menjamin pembebasan dan penghantaran warga Malaysia, Dr Fuziah Mohd Hassan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

wan-azizahPada 14 September lalu, Zaytouna-Olivia mula berlepas dari pelabuhan Ville, Barcelona untuk ke Gaza bagi menyampaikan misi bantuan dan kemanusiaan.

Misi membabitkan 13 aktivis termasuk tiga anak kapal itu bagaimanapun ditahan kira-kira 8.58 malam, pada Rabu lalu.

Selain Fauziah, konvoi kemanusiaan itu turut disertai aktivis wanita dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Sementara itu, tentera Israel dalam kenyataan memaklumkan pasukan keselamatan rejim ‘mengubah haluan’ konvoi terbabit bagi mengelak ia melanggar ‘sekatan maritim’ yang dikenakan ke atas Gaza.

Flotila WBG adalah sebahagian dari kumpulan Freedom Flotilla Coalition yang lebih besar, dengan misi membantah sekatan Yahudi di bumi Gaza.

Sehingga kini beberapa cubaan kumpulan itu untuk melepasi sekatan menemui jalan buntu dengan beberapa anggotanya turut ditahan pihak Israel.

Pada 2010, tentera Israel bertindak menyerang konvoi kemanusiaan Mavi Marmara di kedudukan 70 batu nautika menyebabkan sepuluh warga Turki terbunuh.

-nR-