Categories
SELANGOR

Premis haram proses barangan lusuh berdepan tindakan tegas

OLEH SYASYA SUFIAN

SUBANG, 20 OKT: Pengusaha premisĀ barangan lusuh di Lorong PPRT 3, Kampung Bukit Lanchung, Subang Jaya, di sini bakal berdepan tindakan tegas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) susulan aduan penduduk yang tidak tahan bau busuk dari longkang berdekatan kediaman mereka.

Yang Dipertuan MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, punca bau busuk itu berkemungkinan besar berpunca daripada pembuangan sisa toksin dan minyak sesuka hati.

“Penduduk juga mengadu premisĀ terbabit sering membuat pembakaran secara terbuka pada waktu malam.

“Langkah pertama kita akan ambil tindakan segera dengan membersihkan longkang kerana air tercemar ini mengalir ke sungai dan ini boleh menyebabkan sungai Klang tercemar,” katanya.

img_3332Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembuangan sisa toksin di Kampung Bukit Lanchung, Subang Jaya, hari ini.

Hisham berkata, MPSJ mengeluarkan notis pemberitahuan bangunan selama tujuh hari untuk pengusaha mengambil tindakan segera menutup operasi haram mereka sebelum di sita.

“Jika tiada sebarang maklum balas dari pengusaha, MPSJ akan mengeluarkan notis sambungan iaitu Notis Mengosong dan Meruntuhkan Bangunan selama 30 hari untuk pengusaha mengosongkan kawasan tersebut atau tindakan merobohkan akan dilakukan MPSJ.

“Ini bukan tanah komersial tetapi kemungkinan besar tanah pertanian atau tanah kediaman yang dibuat komersial untuk aktiviti haram memproses barang-barang besi lusuh.

Katanya, MPSJ akan ambil tindakan dibawah Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan.

img_3319Sementara itu, rata-rata penduduk kesal dengan aktiviti haramĀ berhampiran kediaman mereka yang membuang sisa buangan sesuka hati.

Seorang penduduk yang tidak ingin namanya diketahui berkata, mereka tidak tahan menghidu bau yang busuk dan asap kebakaran yang hampir dibakar setiap hari.

“Aktiviti kebakaran haram sering dilakukan tengah malam. Asap api yang marak itu menyebabkan kami sesak nafas lebih-lebih lagi anak kecil.

“Anak saya yang tidak pernah menghidap asma kita menghidapi penyakit itu gara-gara dari asap tersebut,” katanya yang sudah hampir 5 tahun menetap di situ.

Tambahnya, kejadian itu sudah berlarutan lebih lima tahun, sebelum mereka berpindah ke perumahan itu.

-nR-