Categories
NASIONAL

Pendapatan petroleum merosot, BN dijangka perah duit rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Persekutuan dijangka membentangkan belanjawan yang akan menambah tekanan kos sara hidup rakyat sekiranya amalan berbelanja boros yang ditunjukkan trek rekod pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diambil kira.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, hal ini berikutan negara ketika ini mengalami kemerosotan pendapatan yang amat ketara daripada sumber petroleum.

“Petronas yang merupakan penyumbang tertinggi pendapatan negara ketika ini merudum pendapatannya akibat harga minyak global jatuh teruk.

“Ini bermakna kerajaan perlu mencari sumber pendapatan baru untuk menampung perbelanjaan mereka termasuk perbelanjaan yang membazir.

tian-chua“Apa lagi sumber pendapatan yang boleh dikorek selain sumber minyak? Sudah tentu datangnya dari rakyat yang menanggung semua ini,” katanya demikian ketika ditemui SelangorKini di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaliknya Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan amalan gemar berbelanja boros bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

Kerajaan juga digesa menumpukan perhatian kepada sektor penting negara seperti pendidikan dan kesihatan yang memberi kesan langsung terhadap kebajikan rakyat.

Katanya, sebaliknya Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2017 dibentangkan semalam, jelas mengariskan usaha mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

“Dengan usaha menghapuskan ketirisan, rasuah dan pembaziran ini sebenarnya kita menambah pendapatan negara dan tidak perlu memerah rakyat dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain.

-nR-