Categories
SELANGOR

Projek jalan alternatif diteruskan, majoriti peniaga terlibat puas hati

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerja menaiktaraf jalan alternatif Shah Alam-Banting membabitkan Kampung Jalan Kebun dan Johan Setia diteruskan mengikut jadual.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafei berkata, hal itu kerana penyelesaian bantahan peniaga dapat dicapai dalam beberapa siri dialog bersama agensi berkaitan.

Katanya, persoalan dan bantahan dibangkitkan peniaga sebelum ini sudah dijawab agensi dengan penerangan lengkap berkenaan jajaran dan pampasan.

Shuhaimi“Majoriti peniaga berpuas hati dengan penerangan diberikan.

“Saya berharap peniaga yang membantah kerja menaiktaraf ini memahami bahawa mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) pampasan tidak dipertimbangkan bagi pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun atas rezab kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Shuhaimi memaklumkan kerja pengosongan perlu dilakukan segera pemilik premis yang terbabit.

“Kita memahami permasalahan mereka, namun kerja menaiktaraf jalan ini perlu dilakukan kerana ia bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Shuhaimi mengingatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang supaya memeriksa dan mengemaskini data keluasan tanah pemilik dari masa ke semasa supaya tidak menimbulkan keraguan kepada pemilik.

“Sebagai contoh, pada tahun 90an, pampasan pernah diberikan kepada penduduk, namun PDT berkenaan tidak mengemas kini data sehingga menyebabkan berlakunya bantahan apabila sesuatu projek dijalankan.

“Sedangkan selama ini, penduduk menganggap tanah ini milik mereka,” katanya.

jalan-kebunKerja menaiktaraf jalan itu bermula pada Mac lalu dan dijangka siap Mac 2018.

Ia membabitkan penukaran lorong dua hala ke empat lorong dan pembinaan jambatan, sistem lampu isyarat, saliran parit dan longkang serta laluan jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Projek membabitkan laluan sepanjang 1.2 kilometer itu menelan belanja RM35 juta.

-nR-