Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang: Jalan Klang-Teluk Intan FT05 dinaiki air satu meter

SHAH ALAM, 5 NOV: Jalan Klang-Teluk Intan FT05, Tanjong Karang dinaiki air setinggi satu meter berikutan fenomena air pasang besar kira-kira jam 5 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata bagaimanapun limpahan air tersebut tidak menjejaskan kawasan perumahan penduduk.

“Ia (air pasang) berlaku sekejap sahaja sebab ada longkang kecil berhampiran jalan berkenaan. Sehingga jam 9.50 pagi, air telah surut sepenuhnya.

“Kita bersyukur kerana tiada hujan, namun penduduk diingatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan fenomena air pasang besar diramal berlaku sehingga hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Pegawai Daerah Kuala Selangor itu turut memaklumkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan pesisiran pantai yang berpotensi dinaiki air antaranya Pantai Remis, Pantai Jeram, Sungai Janggut, Kuala Sungai Buloh dan Pasir Penambang.

Menurutnya, pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, polis serta unit bencana daerah bagi memastikan orang ramai tidak mengunjungi kawasan berkenaan.

“Aktiviti di pesisiran pantai masih tidak digalakkan ketika ini dan pengunjung perlu mematuhi arahan tersebut bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Jabatan Meterologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari bermula semalam di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Jalan Klang-Teluk Intan FT05, Tanjong Karang dinaiki air setinggi satu meter berikutan fenomena air pasang besar pada 5 November 2021. Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor
Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pantau keadaan semasa walaupun air surut

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengarahkan agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersiap siaga dan meneruskan pemantauan di sebahagian kawasan banjir daerah ini walaupun air sudah surut.

Katanya, antara kawasan terbabit ialah Johan Setia, Jalan Kebun, Taman Petaling Indan dan Taman Melawis.

“Saya memantau rapat keadaan banjir di sebahagian kawasan ini, walaupun air sudah surut namun agensi berkaitan dan PBT perlu memantau keadaan semasa dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman twitternya. Amirudin kini berada di Timur Tengah dalam rangka kerjanya bersama pelajar Selangor di sana.

Beberapa kawasan di Klang dinaiki air berikutan hujan lebat dan fenomena air pasang.

Semalam, lima kawasan di Sungai Kandis terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, antara lokasi terbabit ialah Jalan Kebun, Kampung Seri Kambus, Kampung Jawa, Kampung Bandar Puteri dan Johan Setia.

Terdahulu, sebanyak 10 lokasi dikenal pasti berisiko dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar di Klang bermula dari sempadan Kuala Selangor hingga ke sempadan Kuala Langat iaitu Pangkalan Tok Muda, ban Sementa, ban Sungai Keramat Batu 5, Kapar; Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Jeti Nelayan Kampung Perepat, Pulau Ketam, Telok Gong dan ban Sungai Serdang.

Sementara itu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam keadaan persediaan peringkat tinggi kerana berisiko tinggi dilanda banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter, pada jam 7.43 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi, pada jam 8.03 malam.

Categories
SELANGOR

Air pasang besar terkawal

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 11 OKT: Fenomena air pasang besar di daerah ini masih dalam terkawal di beberapa kawasan, setakat ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, keadaan itu ekoran cuaca baik dan tiada angin kencang, sekali gus menyebabkan paras air laut tidak melepasi ketinggian ban 6 meter, di persisir pantai.

“Dalam pemantauan dibuat dari jam 5 hingga 7.30 pagi, paras tertinggi direkodkan pada jam 7.13 pagi dengan ketinggian 5.5 meter dan keadaan semuanya terkawal.

“Manakala petang ini, kita akan lakukan rondaan sekali lagi ekoran air pasang dijangka mencecah ketinggian 5.1 meter, pada jam 7.31 malam nanti.

“Walaupun terdapat limpahan di beberapa jalan, ia adalah perkara biasa,” katanya.

Pada masa sama, Samsol Maarif berkata, Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Klang akan menutup Pos Kawalan Bomba (PKB), pada jam 9 malam ini selepas waktu air pasang, pada jam 7.31 malam.

Katanya, tujuh pusat penempatan mangsa banjir turut diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika air melepasi paras ban.

“Antaranya Dewan Serbaguna Tok Muda, Dewan Ahmad Razali, Sekolah Rendah Agama Batu Empat, Dewan Orang Ramai Jalan Palembang, Rantau Panjang, Dewan Bandar Sultan Sulaiman, Dewan Komplek Sukan Pandamaran, dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Lee Min Telok Gong.

“Kesemua PKB dijangka tutup, pada malam nanti jika tiada apa-apa yang berlaku. Jika ada perkara yang tidak diingini berlaku, kita harap penduduk di sekitar lokasi terjejas untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Fenomena air pasang dijangka berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter, pada jam 7.43 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi, pada jam 8.03 malam.

Categories
SELANGOR

Bukit Melawati masih berjaga-jaga air pasang besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kawasan Bukit Melawati masih belum terjejas dengan ramalan fenomena bencana air pasang besar walaupun berada dalam zon berjaga-jaga, sehingga hari ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kebanyakan kawasan terjejas membabitkan pesisir pantai sahaja.

“Dalam pengetahuan saya, kawasan yang disenaraikan dalam keadaan berjaga-jaga termasuk Permatang dan Jeram.

“Di Bukit Melawati, biasanya banjir berlaku kerana pertembungan air laut pasang dan hujan lebat yang tidak berhenti tetapi setakat ini alhamdulillah tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir jika berlaku angin kencang serta hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang, pada kadar 5.4 meter kira-kira jam 6.25 pagi, namun keadaan masih terkawal.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir terima bantuan RM1,050

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 17 OKT: Sebanyak 35 keluarga yang terkesan akibat fenomena air laut pasang besar, pada 30 September lalu, menerima sumbangan bantuan sekurang-kurangnya RM1,050.

7Sumbangan itu membabitkan RM300 daripada Kerajaan Negeri, RM300 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), RM250 sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa dan Yayasan Islam Darul Ehsan sebanyak RM200.

Selain itu, Yayasan Warisan Anak Selangor turut menyumbang sebanyak RM200 bagi setiap ahli keluarga yang berdaftar sebagai ahli Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS).

Selain bantuan kewangan, keluarga mangsa turut diberikan bantuan makanan kering seperti beras .

Bantuan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan wakil agensi terlibat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, di sini, petang tadi.

Selain menyampaikan sumbangan, Mohamed Azmin turut meluangkan masa bertemu 236 mangsa daripada 53 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu.

Turut hadir, ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lapan pusat pemindahan dibuka, penduduk disaran pindah awal

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 13 OKT: Lapan pusat pemindahan siap dibuka 15 Oktober ini kepada penduduk yang bakal menghadapi fenomena air pasang yang dijangka melanda hujung minggu ini.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, penduduk sudah dimaklumkan untuk berpindah awal sebelum berlaku fenomena itu.

“Kita sudah siapkan lapan pusat pemindahan dan penduduk boleh pindah kira-kira jam 2 petang, pada 15 Oktober ini.

whatsapp-image-2016-10-13-at-4-20-44-pm“Sepanjang perpindahan tersebut turut dibantu agensi berkaitan seperti bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pasukan rela untuk membantu memastikan keselamatan mereka,” katanya selepas lawatan di Kampung Tok Muda, Kapar, di sini, hari ini.

Katanya, satu pusat permindahan boleh memuat seramai 150 ke 200 orang.

“Antara pusat pemindahan yang dibuka adalah Dewan Serbaguna Sungai Serdang, Dewan Serbaguna Tok Muda, Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kampung Kuantan, Dewan Serbaguna MPK Teluk Gadong, Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, Dewan Serbaguna MPK Kampung Idaman dan Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

“Sekiranya berlaku limpahan, kita menyediakan pusat pemindahan tambahan di Sekolah Rendah Agama Pulau Indah jika ada keperluan,” katanya.

Sementara itu, ADN Sementa, Dr Daroyah Awli berkata, beliau berharap dengan tindakan pencegahan yang dilaksanakan dapat mengurangkan impak kepada rumah yang berpotensi mengalami air pasang.

“Saya mewakili Kampung Tok Muda dan rakyat di Dun Sementa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Exco Infrastruktur, Jabatan Pengairan Selangor (JPS) Agensi Pengurusan Bencana Negara dan semua yang terlibat bekerjasama untuk meminima impak bencana air pasang daripada terus melimpah ke kawasan kampung.

“Ia memang amat terkesan kepada pendduk kampung seperti yang berlaku pada pertengahan pada bulan lepas apabila kebanyakan rumah yang terlibat hampir semua mengalami kerosakan harta benda yang teruk.

“Jadi, kita berharap dengan siapnya benteng dan beg pasir ini akan membantu mengurangkan impak terhadap rumah berhampiran,” katanya.

-NFN-